USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Ogos 2022 - Bagi meningkatkan jati diri dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, Unit Sukan dan Rekreasi, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program rekreasi 'Kashmir Exploration Feel The Nature', di Jeli, Kelantan.
Program yang berlangsung bermula 12 Ogos dan berakhir hari ini disertai oleh seramai 30 orang pelajar pelbagai bidang pengajian dan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Antara pengisian program tersebut ialah berkhemah di Teney Glamping, Pergau, berkayak menyelusuri Sungai Pergau dari Lata Kashmir ke Taman Rekreasi Gunung Reng, Batu Melintang, Jeli sejauh tujuh (7) kilometer, mencari etok di Sungai Pergau, mendaki Bukit Salor, Jeli pada awal pagi untuk melihat awan karpet dan matahari naik, aktiviti 'plogging' di sepanjang perjalanan mendaki Bukit Salor dan eksplorasi terowong lama peninggalan pelombong emas Perancis di Kampung Kalai.
Turut hadir ke program ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Pendaftar BHEPA, Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria dan Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad.
Sumber Laporan : Mohd Hafezi Mat Zain, Unit Sukan & Rekreasi, BHEPA