USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Rancangan Kokurikulum dan Pusat Pengurusan Bencana Kampus Kesihatan telah mengadakan Bengkel Pengurusan Persatuan Pelajar serta Kursus Asas dan Latihan Medan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) USM pada 2 hingga 4 Februari lalu di Peladang Setiu Agrotourism dan Resort.
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari itu, disertai oleh 70 orang peserta yang dipecahkan kepada dua (2) kumpulan iaitu 44 peserta untuk Bengkel Pengurusan Persatuan Pelajar dan 26 peserta untuk bengkel Kursus Asas dan Latihan Medan Kor SISPA USM.
Kedua – dua bengkel diadakan bertujuan mengumpul pemimpin pelajar dalam program yang disusun khas bagi melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran insaniah khusus dalam aktiviti berpersatuan, kemahiran asas pertahanan awam serta pengurusan risiko kecemasan dan bencana.
Hadir merasmikan majlis penutup bengkel tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang juga Timbalan Komandan Kor SISPA Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin. Turut hadir ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab, Timbalan Pendaftar BHEPA, Hafiz Assad Zakaria dan Penyelaras Pusat Pengurusan Bencana Kampus Kesihatan, Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah.