KOTA BHARU, KELANTAN , 24 Julai 2019 – Berat badan ideal menjadi dambaan setiap individu terutama bagi memastikan penampilan sentiasa kelihatan cantik dan pada masa yang sama menjaga kesihatan diri.
Mendapatkan berat badan sesuai mengikut ketinggian bukan sesuatu yang sukar dicapai. Namun, ia memerlukan keazaman serta disiplin diri terutama bagi individu yang sudah berusia.
Menurut Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Ruqayyah Muhd, setiap orang mempunyai keperluan tubuh yang berbeza dan untuk mensasarkan penurunan berat badan yang ideal, kita perlu tahu apakah status berat badan terlebih dahulu dengan mencatat berat, tinggi serta mendapatkan ‘Body Mass Index’ (BMI) yang terkini.
“Sasarkan penurunan sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh peratus daripada berat terkini dalam jangka masa tiga hingga enam bulan dan penurunan berat badan yang selamat adalah antara satu hingga dua kilogram sebulan.
“Sekiranya penurunan berat badan terlalu banyak, ia berkemungkinan akan memberi impak kepada metabolisma tubuh kita,” ujarnya ketika menjadi tetamu dalam rancangan ‘Sembang Sihat’ di Kelantan FM, baru-baru ini.
Rugayyah berkata, pengambilan kalori melebihi keperluan harian pula merupakan faktor yang mempengaruhi kenaikan berat badan.
“Sebagai contoh, keperluan tubuh harian hanyalah 1600kcal sahaja, namun sekiranya kalori harian diambil melebihi 1600kcal, peningkatan berat badan akan berlaku sedikit demi sedikit.
“Kenaikan berat badan dapat dikawal dengan mengurangkan pengambilan kalori harian agar tidak melebihi keperluan dan kita perlu memastikan kalori harian dibakar dengan melakukan senaman dan meningkatkan aktiviti fizikal sepanjang hari,” jelasnya lagi.
Tambah Rugayyah, antara makanan yang perlu dielakkan untuk mencapai berat badan ideal ialah makanan berminyak dan berlemak kerana makanan tersebut mempunyai kalori yang tinggi.
“Pengambilan yang kerap dalam diet seharian akan meningkatkan kalori harian dan membawa kepada masalah obesiti untuk jangka masa panjang. Snek dan kudapan juga antara makanan yang mempunyai kalori yang tinggi dan sekiranya kita mengambilnya dalam jumlah yang kerap dan banyak, ia akan menyebabkan berat sukar dikawal.
“Minuman dan makanan manis juga antara punca peningkatan kalori harian dan orang ramai dinasihatkan untuk menghadkan kepada satu hingga dua sudu teh gula sahaja dalam sehari. Pilihlah makanan yang rendah kandungan gula dan awas pada gula tersembunyi di dalam makanan,” katanya.
Jelas Ruqayyah lagi, antara tips untuk memulakan diet yang sihat ialah dengan mengamalkan konsep pemakanan suku-suku separuh.
“Apabila kita mampu mengawal porsi nasi yang diambil dan meningkatkan porsi sayur-sayuran di dalam hidangan harian, secara automatik kita sudah mengambil hidangan yang lebih sihat.
“Ubah cara makan dengan memilih untuk makan hanya apabila lapar dan elakkan makan tanpa sedar kerana ini akan menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan,” ujarnya.
Teks / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood/Nik Sheila Erini Che Mat Kamel