KOTA BHARU, KELANTAN, 10 Oktober 2019 - Senaman merupakan sejenis aktiviti fizikal atau riadah yang selalunya dilakukan dalam jangka masa tertentu, berulang kali bertujuan meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan.
Menurut Pensyarah Kanan Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Nurul Azuar Hamzah, kebanyakan individu sedar tentang kepentingan senaman, namun keupayaan untuk melakukan senaman secara berkesan dalam menghadapi tugasan harian tanpa merasa letih dan menggunakan masa lapang dengan efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk kecemasan amat sukar dilakukan.
“Kecergasan boleh ditingkatkan dengan senaman yang bersesuaian. Jumlah komponan kecergasan fizikal boleh dikenali atau diketahui dengan 11 komponen dan lima daripadanya berkaitan dengan kesihatan serta enam lagi berkaitan kemahiran.
“Banyak kelebihan diperolehi sekiranya kita kerap melakukan senaman antaranya ialah mencegah diri dari sebarang penyakit yang boleh membahayakan diri kita dan aktiviti senaman hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu,” ujarnya semasa ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM.
Nurul Azuar berkata, terdapat beberapa fakta yang menyatakan bahawa melakukan aktiviti senaman dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit.
“Antara penyakit yang boleh dibendung melalui senaman ialah masalah obesiti, meningkatkan tahap kesihatan mental dan dapat mencegah sakit belakang kerana senaman dapat menguatkan tulang belakang dan otot perut serta memperbaiki postur atau posisi tubuh.
“Selain itu, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kurangnya motivasi untuk bersenam antaranya ialah tidak mempunyai masa lapang dengan alasan kesibukan kerja, kurang kemudahan dan cuaca serta masalah individu itu sendiri,” jelasnya lagi.
Tambah Nurul Azuar, pelbagai strategi dilakukan untuk meningkatkan motivasi dan keseronokan dalam bersenam iaitu menggalakkan mereka bermula secara perlahan, tetapkan target jangka masa panjang dan pendek, rangka jadual senaman, pelbagaikan aktiviti senaman, sokongan sosial serta dapatkan rakan untuk bersenam.
“Bagi meningkatkan motivasi dan keseronokan dalam bersenam, individu tersebut perlulah menetapkan matlamat dan kemampuan, pilih masa yang sesuai untuk bersenam, jangan melakukan senaman yang menyebabkan kesakitan serta seimbangkan antara terlalu banyak dan sedikit dalam melakukan senaman.
“Keseronokan semasa bersenam adalah penting agar seseorang individu dapat meneruskan penglibatan dalam aktiviti senaman untuk jangka masa panjang dan senaman hendaklah dilakukan secara perlahan-lahan serta intensitinya ditingkatkan beransur-ansur kerana senaman banyak memberi manfaat dan faedah kepada kehidupan seharian kita,” katanya.
Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail