KOTA BHARU, KELANTAN, 7 November 2019 – Bahasa dan pertuturan merupakan kemahiran asas untuk belajar tetapi anak – anak yang lewat bertutur ‘Speech Delay’ mempunyai risiko yang tinggi untuk ketinggalan dalam pembelajaran. Disebabkan itu, ibu bapa perlu mengambil peranan yang aktif dalam intervensi awal kanak – kanak supaya mereka mencapai perkembangan seiring dengan kanak – kanak lain.
Pegawai Pemulihan Perubatan, Program Audiologi dan Patologi Pertuturan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Hafizah Rusdi berkata, ibu bapa perlu mengetahui cara merangsang pertuturan anak melalui beberapa strategi seperti ulangan, pemanjangan serta tunggu selain perlu sedar tentang hakikat kanak – kanak kecil belajar melalui bermain.
“Untuk mengetahui kanak – kanak itu bermasalah dalam pertuturan, ibu bapa perlu tahu perkembangan normal secara ringkas contohnya bayi berumur satu tahun ke bawah akan bertindak balas kepada bunyi, suara ibu ayah, ketuk – ketuk mainan, letak mainan dalam mulut dan interaksi mata.
“Bagi kanak – kanak satu hingga dua tahun, mereka akan faham perkataan rutin, mula meniru serta boleh mengikut arahan mudah dan bagi kanak – kanak tiga tahun pula, mereka boleh cipta ayat mudah, bercakap dengan jelas dan faham arahan dua langkah,” katanya ketika ditemubual radio Kelantan FM, di sini.
Tambah Hafizah, bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa perlu mencipta strategi rangsangan bahasa seperti mewujudkan persekitaran yang menggalakkan perkembangan bahasa anak dengan mencari idea serta aktiviti yang sesuai untuk tahap umur.
“Antara strategi rangsangan lain adalah ibu bapa perlu bertindak balas dengan cepat apabila anak menunjukkan minat atau tumpuan kepada sesuatu ketika bersama, bermain bersama mereka dan guna pelbagai perkataan ketika berinteraksi.
“Secara umumnya, alat permainan yang baik tidak memerlukan bateri tetapi perlu galakkan seperti ‘People Games’ contohnya bergurau dan sorok-sorok, bermain belon dan mainan untuk membina minda seperti lego dan ‘play-doh’,” jelasnya lagi.
Hafizah berkata, terdapat beberapa jenis komunikasi ibu bapa yang mempengaruhi perkembangan bahasa anak antaranya ‘Director Role’ iaitu jenis yang suka mengarah, ‘Tester Role’ iaitu jenis yang suka menguji anak dan ‘Entertainer Role’ iaitu jenis yang suka bercakap dan kurang memberi peluang untuk anak bercakap.
Hafizah turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka terhadap perkembangan anak – anak memandangkan pada zaman sekarang banyak sumber yang tidak terkawal di sekeliling dan gunakan masa untuk bersama mereka contohnya bermain dengan mereka sebelum mereka memasuki alam persekolahan.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria