USM KUBANG KERIAN, 18 Julai 2021 – Kanser kulit merupakan ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh sel yang tidak normal dan antara yang paling biasa berlaku terutamanya di negara – negara tropika akibat kecederaan daripada pendedahan kepada persekitaran yang panas.
Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital USM, Profesor Dr. Wan Azman Wan Sulaiman berkata, kanser kulit juga seperti kanser-kanser lain yang boleh merebak pada anggota badan yang lain akibat dari ketumbuhan yang tidak boleh dikawal oleh tubuh badan dan tidak mendatangkan sakit sehinggalah pada tahap perebakan yang lebih dalam.
“Terdapat tiga jenis kanser kulit yang biasa berlaku iaitu ‘Basal Cell Carcinoma’, ‘Squamous Cell Carcinoma’ dan ‘Malignant Melanoma’. Antara ketiga-tiga jenis kanser kulit ini, ‘Basal Cell Carcinoma’ paling biasa berlaku dan kurang agresif kerana purata pembesarannya adalah perlahan, peluang jangkitan pada anggota badan yang lain juga rendah berbanding ‘Squamous Cell Carcinoma’ yang mudah merebak serta lebih agresif.
“‘Malignant Melanoma’ pula adalah sangat agresif malah sukar dirawat dan sangat cepat merebak serta tidak semestinya timbul, malah kanser kulit jenis ini lebih cepat membesar berbanding jenis lain,” katanya ketika ditemubual oleh Radio Kelantan FM di sini.
Tambah Wan Azman, semua ketumbuhan pada kulit purata antara 70 hingga 80 peratus adalah bukan kanser kulit tetapi kita perlu sensitif terhadap sebarang perubahan drastik kepada ketumbuhan pada kulit bagi mengelak kelewatan mendapatkan rawatan jika ianya adalah kanser.
“Antara anggota badan yang mudah terkena kanser kulit adalah anggota badan yang terdedah kepada cahaya matahari kerana cahaya matahari mempunyai ultraungu contohnya muka dan leher.
“Antara tanda-tanda yang jelas biasa berlaku adalah perubahan warna, perubahan struktur bentuk yang ketara dan saiz pembesaran lebih cepat daripada biasa malah ada sesetengahnya menjadi gatal, susah untuk sembuh atau luka dengan sendiri. Jika semua ini berlaku, individu tersebut perlu mendapatkan rawatan segera,” katanya lagi.
Menurut Wan Azman, risiko untuk mendapat kanser kulit adalah bergantung kepada sejarah keluarga individu tersebut selain kesan terdedah kepada cahaya matahari berpanjangan yang menyebabkan terjadinya ‘Sun Damage’.
“Secara biologinya, kanser kulit kurang terjadi kepada kulit yang berwarna gelap kerana mempunyai mekanisma yang dapat melindungi dari risiko dipanggil ‘Melanin’ berbeza dengan individu yang mempunyai penyakit Albino dan berkulit cerah," ulasnya lanjut.
Wan Azman turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai tanda-tanda kanser kulit kerana pelbagai kaedah rawatan disediakan pada peringkat awal yang tidak melibatkan pembedahan contohnya penggunaan ‘laser’ dan sebagainya.
“Masyarakat juga perlu melindungi diri daripada risiko kanser kulit dengan mengurangkan pendedahan kulit terhadap kecederaan seperti pendedahan keterlaluan kepada cahaya matahari antaranya dengan penggunaan krim pelindung atau ‘Sun Block’ yang mempunyai ‘Sun Protection Factor’(SPF) lebih dari 30 untuk mengurangkan kecederaan kulit dan risiko terjadinya kanser kulit,” katanya.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria