KOTA BHARU, KELANTAN, 4 Januari 2018 - Penyakit angin ahmar atau strok merupakan penyebab utama kematian dan kehilangan upaya di Malaysia. Perkembangan perubatan moden membolehkan pesakit yang terlantar di katil mampu direhabilitasi dan dibantu agar dapat kembali kepada komuniti serta terus menyumbang kepada masyarakat.
Menurut Pakar Perubatan Pemulihan, Unit Perubatan Rehabilitasi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Hafiz Hanafi, perkhidmatan rehabilitasi Hospital USM terdiri dari pasukan pakar perubatan rehabilitasi, perkhidmatan fisio dan cara kerja, jurupulih percakapan, ahli nutrisi, jururawat terlatih serta pegawai kebajikan.
"Kami saling bekerjasama bagi membantu pesakit strok agar dapat kembali memandu, bekerja dan belajar setelah mereka diserang penyakit angin ahmar.
"Rawatan utama yang diperlukan adalah dengan memberikan keyakinan kepada pesakit supaya mereka dapat menerima keadaan mereka dan dapat menjalani proses rehabilitasi dengan baik," ujarnya ketika menjadi tetamu rancangan Doktor Di Radio, hari ini.
Muhammad Hafiz berkata, rata-rata pesakit yang menghidap strok tidak dapat menerima hakikat keadaan fizikal mereka pada masa itu sehingga ada yang marah serta menganggap ia adalah balasan perbuatan lampau mereka selain gejala kemurungan yang kerap berlaku dalam masyarakat terutama di Kelantan.
"Bagi mengatasi kemurungan ini, kami berikan galakan dan sokongan dengan menjadikan pesakit yang telah sembuh sebagai contoh serta model kesembuhan kepada mereka.
"Matlamat rawatan perubatan rehabilitasi ialah pesakit cepat sembuh, memberikan pengetahuan yang jelas tentang status penyakit yang dialami, menggunakan alatan, ubatan dan kaedah rawatan terkini selain membantu pesakit untuk kembali melaksanakan aktiviti seharian seperti biasa," jelasnya lagi.
Tambah Muhammad Hafiz, jika dahulu pesakit strok dibiarkan terlantar, namun kini sudah ada perkembangan baru seperti robotik, stimulasi otak, rawatan dalam air serta rawatan menaiki kuda yang dapat membantu pesakit kembali pulih.
"Selain itu, Hospital USM juga menyediakan Klinik SMART 'Sound, Movement, Art, Rehabilitation Therapy' iaitu gabungan elemen muzik, gerakan, melukis khas untuk pesakit strok dan pesakit celebral palsy.
"Apabila adanya elemen muzik yang disukai oleh pesakit, tangan pesakit akan bergerak sendiri mengikut rentak muzik tersebut dan pihak kami akan merakam aksi itu tanpa disedari serta menunjukkan bukti kepada pesakit bahawa tangannya mampu bergerak tanpa mereka sedar hal tersebut.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob