KOTA BHARU, KELANTAN, 15 November 2018 – Individu berumur 18 hingga 60 tahun layak menderma darah sekiranya melepasi kriteria yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, rakyat di Malaysia dilihat masih berada pada tahap yang rendah berkaitan kefahaman untuk menderma darah dan ianya masih belum menjadi amalan di negara ini.
Menurut Pegawai Perubatan, Unit Perubatan Transfusi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Amran Abdul Wahab, jumlah penderma darah tetap di Malaysia masih tidak setara dengan negara-negara maju disebabkan faktor kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Darah merupakan satu komponen penting dalam perawatan kesihatan kerana keperluan dan permintaan terhadap akan meningkat terutamanya semasa musim perayaan apabila pemindahan darah diperlukan akibat kemalangan jalan raya, serta kes-kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit talasemia, haemofilia dan anemia," ujarnya semasa ditemubual ketika menjadi tetamu di Rancangan Doktor Di Radio di sini baru-baru ini.
Tambah Amran, pendermaan darah boleh dilakukan melalui dua cara iaitu pendermaan darah penuh (whole blood donation) dan pendermaan secara aferesis (apheresis donation).
"Pendermaan darah penuh ialah darah yang didermakan akan diproses di makmal kepada beberapa komponen seperti plasma, platelet dan sel darah merah (Packed Cell) manakala aferesis pula ialah pendermaan plasma dan platelet atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis dan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit bagi plasma serta 45 hingga 75 minit untuk menderma platelet.
"Seseorang yang ingin menderma darah perlu memenuhi beberapa kriteria iaitu berat badan melebihi 45 kilogram, sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik. Bagi individu yang berumur 17 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga sebelum menderma," ujarnya lagi.
Amran berkata, penderma juga hendaklah dari mereka yang tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jangka waktu terdekat sebelum hari pendermaan, tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang secukupnya iaitu melebihi lima jam sebelum menderma darah dan menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia.
Amran turut menjelaskan bahawa kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas.
"Seseorang bakal penderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang didermakan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut," tambahnya lagi.
Teks / foto : Wan Salizawati Wan Ismail