KOTA BHARU, KELANTAN, 27 Januari 2019 – Jangkitan di hospital adalah sesuatu yang sangat biasa. Unit Kawalan Jangkitan pula merupakan unit yang ditugaskan untuk memantau, melakukan survelan dan membantu dalam mengawal kadar jangkitan di hospital dan dalam kalangan staf. Namun, terdapat juga faktor lain yang menyumbang dalam kadar jangkitan iaitu pelawat.
Menurut Pegawai Perubatan Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fauziah Ismail, jangkitan pada pesakit adalah perkara yang sering kita dengar, ianya disebabkan oleh bakteria, fungal (kulat) mahupun virus dan parasit.
“Jangkitan di hospital sangat dititik beratkan di mana pihak Kawalan Jangkitan di setiap hospital yang bertanggungjawab menjalankan survelan dan statistik, pendidikan kawalan jangkitan dan pemonitoran para staf hospital untuk pemantapan kawalan.
“Namun begitu, dengan kurangnya pengetahuan sesetengah peneman dan pelawat pesakit juga boleh menyumbang kepada jangkitan yang tidak mampu dikawal dan suasana kawalan rebakan menjadi tidak kondusif sekiranya peneman dan pelawat tidak mengikut arahan pihak wad dan hospital,” jelasnya ketika menjadi tetamu dalam rancangan ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, baru-baru ini.
Fauziah berkata, sekiranya perkara ini tidak dikawal, jangkitan di hospital boleh merebak dengan cepat dan ia juga akan menyebabkan jangka masa perawatan dan kos rawatan akan meningkat sekaligus meningkatkan mortality serta morbiliti pesakit.
“Sekiranya kes makin merebak, wabak akan menular dan lebih banyak kesan serta komplikasi akan berlaku,” ujarnya lagi.
Selain itu, Fauziah turut menerangkan kenapa kanak-kanak dan warga emas dihadkan melawat pesakit di hospital. Hal ini kerana golongan ini mempunyai kadar ketahanan badan yang rendah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan dari pesakit hospital sama ada melalui udara(airbone), titisan(droplet) mahupun sentuhan(contact) selain terdedah kepada risiko jangkitan melalui darah seperti jangkitan penyakit Hepatitis atau HIV.
“Hospital USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bekerjasama dan giat mempromosikan kempen cuci tangan (7 step hand wash & 5 moments) untuk staf dan pelawat serta peneman pesakit
“Pelawat dan peneman pesakit diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang disediakan oleh pihak hospital seperti menggunakan sarung tangan, penutup mulut dan gaun pelawat ketika menguruskan pesakit,” jelasnya.
Fauziah berkata, mereka juga dinasihatkan agar tidak membawa makanan dan peralatan dari luar yang tidak dipastikan tahap kebersihannya, menggunakan antibiotik mengikutbdos dan tempoh yang ditetapkan kerana penggunaan tanpa had dan kawalan akan menjadi lebih teruk jika antibiotik tidak sepadan dengan kuman atau penyakit sekali gus menjadikan kerja kawalan jangkitan menjadi satu beban yang sukar ditanggung oleh banyak pihak.
Teks / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood