ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

CEGAH HFMD: KENALI PUNCA DAN SIMPTOM JANGKITAN


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2022 – Penularan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau ‘Hand, Foot and Mouth Disease’ (HFMD) dalam kalangan masyarakat mampu dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Umum mengetahui bahawa HFMD boleh menjangkiti kanak-kanak khususnya yang berumur lima tahun ke bawah.

HFMD merebak melalui sentuhan apabila tangan pesakit menyentuh kanak-kanak lain, maka virus boleh berpindah kepada kanak-kanak yang disentuh.

Virus ini juga merebak melalui permukaan objek dan barang-barang peribadi yang disentuh oleh pesakit.

Kajian mendapati bahawa virus tersebut boleh hidup di atas permukaan objek sehingga tiga (3) hari. Selain itu, virus juga boleh tersebar oleh titisan (droplet) dari mulut sewaktu kanak-kanak batuk dan tersebar melalui najis pesakit. Terdapat juga kajian bahawa virus boleh didapati dalam najis pesakit sehingga tiga (3) minggu lepas jangkitan.

75c55217 d5d6 4151 9416 dc1b8386c889

Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nik Haszroel Hysham Nik Hashim, langkah pencegahan yang boleh diambil antaranya, kuarantin pesakit di rumah, membasuh tangan dengan sabun dan melakukan pembasmian kuman atau disinfeksi persekitaran dengan bahan disinfektan berasaskan klorin.

“Penekanan terhadap pencucian tangan dengan sabun perlu dititikberatkan terutamanya selepas menukar lampin pesakit.

“Begitu juga dengan persekitaran pesakit dan permukaan objek serta barang-barang peribadi yang disentuh oleh pesakit.

"Kita perlu pastikan lampin pakai buang diuruskan dengan cara yang betul dan tidak dibuang merata-rata,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Nik Haszroel Hysham, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak-anak yang mempunyai tanda-tanda HFMD tidak dihantar ke taska, rumah pengasuh atau tadika bagi mengelak jangkitan dari merebak kepada kanak-kanak yang lain.

“Kebanyakan pesakit HFMD akan mengalami gejala ringan seperti demam yang diikuti ruam berisi air (vesicle) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Kanak-kanak ini juga mungkin kurang selera makan kerana rasa sakit tekak yang dialaminya," jelasnya lagi.

Beliau berkata, adalah sangat penting bagi semua penjaga melakukan kuarantin di rumah apabila terdapat tanda-tanda sebegini pada anak mereka.

“Ini kerana kebanyakan kes yang berlaku tersebar dengan cepat akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga yang tetap menghantar anak mereka ke tadika atau rumah pengasuh walaupun bergejala.

"Ini mengakibatkan kanak-kanak lain turut mendapat jangkitan HFMD," ujarnya lanjut.

Nik Haszroel Hysham berkata, sekiranya hal tersebut berlaku, tadika atau taska terbabit perlu menjalani proses dekontaminasi dengan bahan disinfektan berasaskan klorin bagi mengelak jangkitan berlaku dalam kalangan kanak-kanak lain di pusat tersebut.

Nik Haszroel Hysham turut menjelaskan bahawa rawatan bagi pesakit HFMD adalah bergantung kepada tahap keseriusan pesakit.

“Bagi yang mempunyai gejala ringan, rawatan yang diperlukan hanyalah berehat di rumah dan pastikan pengambilan air mencukupi kerana tiada vaksin khusus untuk mencegah HFMD buat masa ini.

"Di samping itu, kanak-kanak yang telah dijangkiti, adalah penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk melihat tanda-tanda amaran (warning signs) yang menandakan bahawa pesakit mungkin perlu menerima rawatan lanjut di Hospital.

"Tanda-tanda tersebut termasuklah demam tinggi melebihi 38.5°C, demam berterusan melebihi 48 jam, pergerakan luar kawal (myoclonic jerk), perubahan kesedaran dan sawan," katanya.

Menurut Nik Haszroel Hysham lagi, tanda-tanda tersebut menunjukkan bahawa kemungkinan jangkitan telah merebak ke sistem saraf dan pesakit mungkin mengalami komplikasi seperti aseptic meningitis dan encephalitis.

"Komplikasi seperti ini mungkin berlaku kepada segelintir pesakit yang dijangkiti virus Enterovirus 71.

"Amat penting untuk ibu bapa berwaspada dan segera bertindak membawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan , " ujarnya.

Pesakit yang pernah menghidap penyakit HFMD juga boleh mendapat jangkitan kali kedua sekiranya dijangkiti oleh 'strain' virus yang berbeza.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 06 Februari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.