ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

BENGKAK DI LEHER PERLU PERHATIAN LEBIH SERIUS ELAK KANSER TIROID


KOTA BHARU, KELANTAN, 21 Julai 2022 – Bengkak dileher adalah perkara biasa kita dengari tetapi tahukah anda bengkak di leher ini mempunyai faktor penyebab hingga boleh mengakibatkan kanser. Oleh itu, pengesanan awal amat penting jika terasa perbezaan luar biasa pada tubuh kita. 

SAVE 20220723 150742
 
Pensyarah dan Pakar Perubatan Nuklear, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Fatihah Wan Sohaimi berkata, bengkak di leher kebiasaannya bermula daripada kulit, kelenjar air liur, kelenjar limfa dan tiroid akibat jangkitan kuman. 
 
“Terdapat tiga jenis bengkak di leher iaitu bengkak kelenjar air liur yang bersifat sementara malah tidak berbahaya serta akan surut dalam tempoh satu hingga dua minggu, kedua bengkak disebabkan ketumbuhan contohnya lipoma dan beguk yang bengkaknya berpanjangan dan tidak perlu risau tetapi memerlukan rawatan dari doktor dan bengkak akibat kanser.
 
“Salah satu kanser yang mempunyai fizikal sama dengan bengkak di leher adalah kanser tiroid di mana kebanyakan masyarakat kita beranggapan bahawa kanser adalah sejenis penyakit yang akan mengalami kesakitan yang teruk tapi sebenarnya ia tidak sakit dan oleh sebab itu ramai yang mengambil mudah hal tersebut tanpa mendapatkan rawatan lanjut sehingga kanser berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya ketika ditemubual di konti Radio Kelantan FM, hari ini.
 
Tambah Wan Fatihah, mengikut data Pendaftaran Kanser Negara, kanser tiroid adalah kanser kelapan tertinggi di Malaysia terutama dalam kalangan wanita berbanding lelaki. 
 
“Kanser tiroid terbahagi kepada dua jenis iaitu tidak agresif dan agresif di mana kanser tidak agresif akan dirujuk mengikut kategori umur iaitu umur 55 tahun ke bawah dikira tahap satu (1) dan dua (2) walaupun kanser tersebut telah merebak tetapi masih boleh dirawat serta mempunyai harapan untuk sembuh. 
 
“Rawatan utama kanser tiroid adalah melalui pembedahan dan rawatan kedua pula, pesakit perlu mengambil ubat hormon sepanjang hidupnya dan akan dirujuk ke Jabatan Perubatan Nuklear untuk rawatan seterusnya iaitu 'Radioaktif Iodin' yang hanya terdapat di USM bagi negeri di kawasan Pantai Timur,” katanya lagi. 
 
Menurut Wan Fatihah, 'Radioaktif Iodin' adalah rawatan istimewa yang akan diberikan mengikut risiko pesakit dan rawatan kanser tiroid ini tidak seperti kanser lain kerana ia tidak memerlukan rawatan kimoterapi. 
 
Beliau turut menasihatkan dan berharap orang ramai atau ahli keluarga dapat menjadi ajen kepada doktor memandangkan ramai yang beranggapan bahawa bengkak di leher adalah biasa dan kesedaran rakyat di Malaysia umumnya berkaitan kanser tiroid masih rendah serta membimbangkan.  
 
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 06 Februari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.