ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

RAWATAN ORTODONTIK INTERSEPTIF ‘BRACES’ UNTUK KANAK-KANAK


KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Ogos 2022 – Rawatan Ortodontik Interseptif atau pintasan merupakan rawatan awal yang diberikan kepada kanak-kanak untuk menghapus atau mengurangkan keterukan maloklusi atau susunan gigi apabila mereka dewasa kelak. Rawatan ini melibatkan pemakaian pendakap gigi yang lebih popular dengan panggilan ‘braces’ dan ia terdapat dalam dua bentuk sama ada boleh tanggal atau tetap. 
 
Menurut Pensyarah Pergigian dan Pakar Ortodontik, Program Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Umi Mardhiyyah Mat Ali, maloklusi terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. 
 
SAVE 20220819 185121
 
“Antaranya faktor tulang rahang, tisu lembut seperti bibir, lidah, pipi atau faktor setempat seperti gigi itu sendiri semasa pembentukan gigi kekal dan akibat tabiat menghisap jari dalam kalangan kanak-kanak. 
 
“Antara contoh maloklusi ialah gigitan terbalik atau gigitan silang, gigi kekal lambat tumbuh atau terimpak dan kehilangan awal gigi susu,” katanya ketika ditemubual dalam Rancangan Sembang Sihat bersama Kelantan FM, semalam. 
 
Tambah Umi, masa yang sesuai mendapatkan rawatan Ortodontik Interseptif adalah semasa kanak-kanak berada dalam fasa kegigian campuran.
 
“Kebiasaannya fasa ini bermula ketika kanak-kanak berumur lima (5) hingga enam (6) tahun, di mana gigi kekal pertama mulai tumbuh dan berakhir pada umur tiga belas (13) tahun apabila gigi susu terakhir tertanggal. 
 
“Ibu bapa perlu membawa anak-anak untuk menjalani pemeriksaan gigi secara berkala dan tidak hanya menunggu mereka mengadu sakit gigi baharu membuat pemeriksaan,” katanya lagi. 
 
Jelas beliau, rawatan Ortodontik Interseptif yang ditawarkan oleh Klinik Pakar Ortodontik, Hospital USM merangkumi pemakaian pendakap gigi ‘braces’ sama ada yang boleh tanggal atau pendakap gigi tetap yang ringkas. 
 
“Pendakap gigi boleh tanggal perlu dipakai setiap masa, namun boleh ditanggalkan pada waktu makan atau ketika memberus gigi, sebaliknya bagi pendakap gigi yang tetap, ia tidak boleh ditanggalkan.
 
"Contoh lain bagi rawatan Ortodontik Interseptif ini ialah pemakaian alat seperti ‘twin block’ atau ‘headgear’ untuk masalah pembentukan rahang dan juga alat untuk menghentikan tabiat menghisap jari.
 
“Di Hospital USM, rawatan Ortodontik Interseptif ditawarkan di bawah Unit Ortodontik dan juga pergigian kanak-kanak,” jelasnya. 
 
Umi berkata, pesakit yang datang ke Hospital USM perlu menjalani sesi penilaian maloklusi terlebih dahulu dan didiagnos sebelum disyorkan pelan rawatan yang bersesuaian dengan kes mereka. 
 
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya membawa anak mereka mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor pergigian yang bertauliah sekiranya mempunyai masalah maloklusi gigi. 
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 06 Februari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.