USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Februari 2023 – Gigi kekal amat berharga dan tiada yang benar-benar dapat menggantikannya. Namun, kehilangan gigi bagaimanapun tidak dapat dielakkan.
Menurut Pensyarah Pergigian, Program Pergigian (Prostodontik), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Noor Huda Ismail, kita tidak sepatutnya membiarkan gigi yang telah dicabut rongak kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk ke atas gigi sedia ada.
“Apabila gigi ada yang rongak, ia akan menyebabkan gigi bersebelahan dengannya mengalami proses mobilisasi lantaran tiada gigi yang boleh menahan gigi tersebut dari bergerak.
“Pergerakan gigi bersebelahan boleh berlaku ke kawasan yang tiada gigi ataupun gigi yang berlawanan akan tumbuh lebih panjang ke kawasan gigi yang hilang.
“Sekiranya gigi bersebelahan bergerak ke kawasan yang tiada gigi, ia akan mengakibatkan wujudnya ruang antara gigi tersebut dan gigi di belakangnya serta menyebabkan pelbagai kesulitan hingga memberi kesan ketidakseimbangan pada struktur gigi,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.
Noor Huda berkata, sebelum doktor mencabut gigi, pesakit seharusnya mengetahui punca gigi mereka dicabut.
"Adakah disebabkan tiada harapan untuk diselamatkan seperti karies gigi, cabutan untuk tujuan rawatan atau cabutan disebabkan gigi bergoyang kerana masalah gusi.
“Sebelum membuat keputusan untuk menjalani rawatan penggantian, pesakit perlu berbincang dengan doktor untuk memastikan bahawa ia merupakan pilihan yang sesuai bagi menggantikan gigi yang hilang.
Tambah Noor Huda, terdapat beberapa prosedur pilihan rawatan yang akan diberikan kepada pesakit bagi menggantikan gigi yang hilang iaitu implan gigi, jambatan gigi dan gigi palsu.” ujarnya lagi.
"Implan merupakan titanium yang di tanam ke dalam tulang rahang untuk menggantikan akar gigi yang hilang.
"Sebelum prosedur tanam gigi dilakukan, doktor terlebih dahulu akan membius kawasan yang akan dilakukan rawatan.
“Implan juga antara alternatif terbaik kerana ianya lebih kukuh dan tidak menjejaskan struktur gigi bersebelahan seperti kaedah jambatan gigi," jelasnya.
Noor Huda turut menerangkan tentang prosedur rawatan lain penggantian gigi seperti penggunaan gigi palsu di mana bahan yang digunakan bagi menghasilkan gigi palsu ini terdiri daripada plastik akrilik dan juga struktur logam kromium kobalt serta nilon.
“Jambatan gigi juga salah satu kaedah perawatan di mana ia merupakan prostesis jenis tetap yang disimen terus pada gigi tumpang dan tidak perlu dibuka untuk tujuan pembersihan.
"Tempoh penyesuaian diri untuk perawatan ini mengambil masa yang pendek untuk jambatan pergigian bersaiz kecil dan juga ringan berbanding gigi palsu boleh tanggal selain amat mudah diterima sebagai sebahagian daripada gigi asli setelah disimen di dalam mulut,” ulasnya lanjut.
Noor Huda turut berpesan agar pesakit menjaga kebersihan gigi gantian seperti gigi asli bagi menjamin kebersihan serta kesihatan gigi dan mulut.
"Kegagalan untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut boleh mengakibatkan komplikasi lain seperti mulut berbau, penyakit gusi, kerosakan gigi asli yang sedia ada dan boleh menyebabkan kehilangan gigi," katanya.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh