KOTA BHARU, KELANTAN, 4 Mac 2023 – Di persekitaran kita terdapat berjuta-juta kuman yang dianggarkan melebihi daripada sel tubuh manusia dan kebanyakan kuman ini tidak merbahaya serta boleh membantu kita.
Namun, sebahagian daripada kuman juga boleh mendatangkan penyakit kepada manusia. Pada masa yang sama, dalam badan manusia terdapat sistem yang melindungi badan daripada terkena jangkitan kuman.

Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan merangkap Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zakuan Zainy Deris berkata, penyakit berjangkit adalah kecelaruan fungsi badan disebabkan oleh kuman. Kuman-kuman ini merupakan makhluk kecil yang boleh merebak yang terdiri daripada kumpulan virus, bakteria, fungi dan parasit.
“Virus biasanya dirujuk sebagai bahan boleh berjangkit yang paling kecil, bersaiz sekitar 10 - 500 nanometer (nm) dan tidak dapat dilihat dengan mikroskop biasa, tetapi boleh dilihat dengan mikroskop elektron.
"Ia tidak boleh hidup secara bersendiri tetapi memerlukan sel organisma lain untuk hidup. Contohnya penyakit yang disebabkan virus adalah 'Human Immunodeficiency Virus' (HIV), hepatitis, denggi dan campak.
"Kumpulan kedua pulanadalah bakteria dan ia lebih besar serta boleh dilihat dengan mikroskop biasa dan boleh hidup serta menjalankan fisiologi kehidupan secara sendiri. Contoh penyakit disebabkan oleh bakteria adalah bisul, tifoid, jangkitan selaput otak dan banyak lagi,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Zakuan, kumpulan ketiga adalah fungi. Antara penyakit yang disebabkan oleh kuman dalam kumpulan ini adalah penyakit kurap dan panau.
"Kumpulan terakhir yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit adalah kumpulan parasit. Ia bersaiz lebih besar yang menyebabkan penyakit seperti malaria, cacing dan kutu.
“Secara umumnya, tanda seseorang dijangkiti kuman adalah berbeza mengikut jenis kuman dan tempat dijangkiti contohnya demam adalah tanda umum untuk kebanyakan jenis jangkitan tetapi bukan semua penyakit berjangkit menyebabkan demam.
"Ia merupakan satu bentuk tindakbalas badan dalam menghadapi kuman. Dua kelebihan kuman adalah ia boleh menghadkan kecederaan disebabkan oleh kuman serta pada masa yang sama memberikan amaran kepada empunya badan bahawa sesuatu kecederaan berlaku pada badan dan memerlukan perhatian perubatan," jelasnya lagi.
Menurut Zakuan, sebagai langkah pencegahan, individu tersebut perlu mengenal pasti bagaimana kuman merebak.
"Secara umumnya, terdapat tiga (3) cara jangkitan yang biasa terjadi iaitu yang pertama jangkitan melalui sentuhan, yang kedua jangkitan melalui udara dan yang ketiga adalah melalui perantara binatang dan serangga,” katanya.
Zakuan turut menjelaskan bahawa terdapat pencegahan khusus bagi setiap kategori kuman yang perlu dipatuhi antaranya memakai sarung tangan, memakai pelitup muka, membersihkan tempat tercemar dengan pembasmi kuman serta membunuh tempat pembiakan serangga seperti nyamuk agar persekitaran sentiasa terjaga.
Selain langkah pencegahan di atas, Zakuan turut menasihati orang ramai agar mengambil vaksin sekiranya terdapat vaksin bagi penyakit berjangkit tersebut.
"Vaksin berfungsi untuk memperkenalkan kuman kepada sistem imun seseorang dan seterusnya sistem imun individu yang mengambil vaksin itu akan bersedia untuk melawan ancaman kuman tersebut di masa hadapan.
"Ubat anti kuman atau antibiotik tidak boleh mengambil peranan vaksin dalam pencegahan penyakit berjangkit," jelasnya lanjut.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh