USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mac 2023 - "Para Pensyarah Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) adalah golongan yang istimewa kerana di dalam kesibukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tugas klinikal dan penyelidikan, namun tetap patuh kepada etika amalan masing-masing. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjaga adab serta menutup aib pesakit, penyampai berita duka dan gembira kepada keluarga pesakit", demikian ungkapan kata-kata semangat oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dalam sesi perjumpaan bersama warga PPSP, minggu lalu.
Menurut Shaharum, ini adalah kelebihan dan keistimewaan yang hanya dimiliki oleh para pensyarah klinikal dan pengamal perubatan yang sentiasa berhadapan situasi sukar seperti suasana sedih ketika memaklumkan kematian dan suasana gembira apabila berjaya merawat pesakit.
Selain itu, Shaharum berharap agar semua warga PPSP sentiasa berazam untuk melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin selaras dengan amanah yang dipikul serta sentiasa mempunyai pelan perancangan untuk melatih para pelapis sebagai kesinambungan menyambung amanah kepakaran klinikal yang amat di perlukan oleh masyarakat.
Shaharum juga turut berkongsi perjalanan sepanjang 15 tahun USM memegang status universiti APEX sehingga dinobatkan tempat ke-4 dalam 'Sustainable Development Goals' (SDG) dan pelan merancakkan semula Agenda APEX Universiti bagi memastikan USM terus teguh dalam pemerkasaan fasa APEX seterusnya.
Dalam sesi perjumpaan yang dihadiri lebih 100 orang warga PPSP itu, mereka turut diberi kesempatan mengutarakan pandangan berkait keperluan perjawatan, penambahbaikan infrastruktur dan prasarana yang terdapat di PPSP serta Kampus Kesihatan.
Turut hadir ialah Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Ketua Penolong Pendaftar, W. Zalawati Mohd Noor dan ketua- ketua jabatan PPSP.