ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

JADIKAN PENSYARAH SEBAGAI IDOLA, KAVITHA GRADUAN CEMERLANG SAINS SENAMAN & SUKAN KONVOKESYEN USM KE-59


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2022 - Menjadi jurulatih kecergasan dan korporat terkenal di dunia serta menjadikan diri beliau sebagai inspirasi segenap lapisan masyarakat merupakan cita-cita besar Kavitha A/P Sivapragasam. 

 
Bermula hanya dengan seronok melakukan senaman, ianya bertukar kepada perasaan takjub dalam memahami kebolehan fizikal manusia melakukan gerakan menjadi titik tolak beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sains Senaman dan Sukan, di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM). 
 
SAVE 20220527 181629
 
"Pada peringkat awal memilih bidang pengajian ini, saya menerima pelbagai kata-kata yang mengguris perasaan daripada orang sekeliling mungkin kerana pada masa itu, bidang pengajian sains senaman dan sukan ini belum begitu dikenali sebagaimana program-program pengajian lain yang telah lama bertapak di universiti awam mahupun swasta.
 
"Tapi ianya tidak langsung memudarkan semangat malahan saya menjadikan itu semua sebagai cabaran untuk saya buktikan bidang ini juga mampu menjadikan saya seorang individu yang terkenal sebagaimana profesyen lain", ujarnya.
 
SAVE 20220527 181622
 
Ternyata pengorbanan Kavitha meninggalkan keluarga dan pasangan kembarnya di Negeri Sembilan untuk berhijrah seketika ke Kampus Kesihatan tidak sia-sia apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan peperiksaan kumulatif yang cemerlang iaitu 3.82 dan berjaya menerima anugerah dekan secara berturut-turut sepanjang tempoh pengajian. 
 
Sesuai dengan pembawaan beliau sebagai pelajar dalam jurusan kesukanan, Kavitha merupakan atlit yang mewakili USM dalam Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) serta pernah memenangi lebih daripada 10 'podium finish' acara larian maraton terbuka USM.  
 
SAVE 20220527 181557
 
Menurutnya, berada dalam kalangan pelajar dan pensyarah Sains Sukan, adalah kenangan yang cukup manis dan tak mungkin beliau lupakan. 
 
"Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara dan inilah keunikan keluarga Sains Sukan, PPSK.
 
"Keluarga, pensyarah dan rakan-rakan menjadi saksi pahit getir saya sepanjang bergelar pelajar dan segala penat lelah saya selama ini terbayar dan lebih bermakna lagi saya dapat menghadiahkan kepada ibu bapa saya anugerah yang sama sekali saya tidak menyangka untuk menerimanya," jelasnya lagi.
 
SAVE 20220527 181606
 
Sempena Upacara Konvokesyen USM ke-59, Kavitha dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Pingat Emas USM pelajar Wanita Tahun Akhir Terbaik dan Anugerah Pingat Emas USM Pelajar Tahun Akhir Terbaik, Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Kepujian). 
 
Mendedikasikan kejayaan yang diraih kepada tiga (3) pensyarah yang menjadi tunjang dan nadi sepanjang pengajian, Kavitha mengakui ketiga-tiga mereka sentiasa menjadi sumber inspirasi dan pembimbing hebat yang sentiasa memastikan beliau berada pada landasan yang betul. 
 
Dalam pada itu, Kavitha turut menitipkan pesanan kepada rakan-rakan seperjuangan agar mencari dan melakukan apa yang mereka suka lakukan sehingga ia menjadi rutin dan bukannya keterpaksaan. 
 
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Fairus Md Isa

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 27 January 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.