USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2022 – Setelah tiga tahun memberi manfaat kepada lebih 1,000 buah keluarga, Rumah Ronald Mc’Donald (RRM) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) masih lagi mengekalkan kadar bayaran penginapan sebanyak RM5 kepada keluarga pesakit yang menginap di rumah berkenaan.
RRM Hospital USM dibina bertujuan untuk menyediakan penginapan selesa kepada keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital USM terumatanya golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Timbalan Dekan Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM yang mewakili Pemangku Pengarah Kampus, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam, RRM di Hospital USM benar-benar membantu keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kerana menawarkan penginapan dengan kadar bayaran yang sangat rendah.
“Bilik penginapan yang selesa serta pelbagai kemudahan yang disediakan nyata memberi kelegaan kepada keluarga kurang berkemampuan untuk berulang-alik sepanjang anak mereka menerima rawatan di wad Hospital USM.
“Selain itu, RRM memudahkan pasukan perawat untuk berhubung serta berbincang dengan keluarga pesakit, kerana jaraknya yang dekat dengan hospital” ujarnya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-3 RRM Hospital USM, hari ini.

Tambah Wan Hazabbah, USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada 'Ronald McDonald House Charities' (RMHC) Malaysia kerana memilih USM sebagai lokasi kedua RRM yang mana pembinaannya menelan belanja lebih RM4 juta.
"USM sangat mengalu - alukan kerjasama seperti ini dan berharap gemblengan tenaga sebegini dapat diteruskan demi manfaat semua pihak.
"Saya berharap kemudahan yang disediakan ini dapat meringankan beban keluarga khususnya mereka yang datang dari jauh kerana penginapan di sini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 untuk satu malam," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi RRM Hospital USM, Profesor Madya Dr. Che Maraina Che Hussin, pula berkata, RRM merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak dalam membantu waris pesakit khususnya golongan terkebawah yang menemani anak mereka menjalani rawatan di wad pediatrik.
“Ia dilengkapi dengan 18 buah bilik tidur serta ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni selain turut memiliki bilik sensori yang menyediakan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa yang mendapat rawatan di Hospital USM.
"RRM Hospital USM yang mula beroperasi pada 23 Jun 2019 dibina untuk memberi kemudahan kepada keluarga pesakit kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah bagi membolehkan mereka sentiasa berada bersama anak mereka yang menerima rawatan di Hospital USM, "jelasnya.

Che Maraina turut berharap agar dengan adanya RRM di Hospital USM pelbagai program kesedaran dan keraian dapat diadakan bagi meraikan anak-anak yang menginap di situ.
“Kolaborasi yang dijalinkan ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan komuniti selain turut memperkenalkan fungsi dan kemudahan yang ditawarkan RRM Hospital USM,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman