ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

MAIK - USM METERAI PERJANJIAN USAHASAMA TABUNG WAKAF


KOTA BHARU, KELANTAN, 27 Jun 2022 - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan hari ini menempa sejarah baharu apabila termeterainya perjanjian usahasama tabung wakaf bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). 
 
Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Hj. Zulkifle Ab Rahman bagi pihak MAIK dan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bagi pihak USM. Melalui perjanjian usahasama ini, MAIK telah memberi kuasa 'Mutawali' kepada USM untuk mengutip dana tunai dan menguruskan hasil kutipan melalui Jawatankuasa MAIK - USM bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang. 
 
SAVE 20220628 095006
 
Program Tabung Wakaf Kesihatan MAIK - USM adalah satu inisiatif dalam mengumpul wakaf tunai untuk menyokong pelbagai aktiviti kesihatan di Hospital USM khususnya seperti membiayai pembelian alatan baharu untuk kegunaan perawatan pesakit, bantuan kewangan atau keperluan kepada pesakit dan pelajar yang kurang berkemampuan di Kampus Kesihatan. 
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, program dengan kerjasama MAIK ini menunjukkan USM konsisten dalam membantu pesakit dan pelajar kurang kemampuan serta memberi peluang kepada orang ramai menyumbang melalui Tabung Wakaf Kesihatan MAIK - USM. 
 
SAVE 20220628 095022
 
“Sebagai permulaan, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA) menyalurkan sumbangan wakaf pendidikan sebanyak RM 10,000 kepada Tabung Wakaf Kesihatan MAIK - USM ini. 
 
“Saya menyeru kepada syarikat - syarikat korporat untuk menjadi pewakaf di dalam tabung ini bagi memastikan agenda USM untuk melestarikan penjagaan kesihatan di Hospital USM khususnya dapat dilaksanakan dengan lancar", ujarnya. 
 
Sementara itu, Tengku Temenggung Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Hj. Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz turut mencemar duli menyaksikan majlis menandatangani memorandum yang berlangsung di Kompleks Balai Islam, Lundang bersempena Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Kelantan. 
 
IMG 20220628 095504
 
Dalam ucapan perasmiannya, Tengku Tan Sri Dato' Hj. Mohamad Rizam, memaklumkan, MAIK merupakan agensi tunggal yang menguruskan harta wakaf di Negeri Kelantan.
 
“Di antara harta wakaf yang diwakafkan oleh pewakaf adalah wakaf tanah untuk dijadikan tapak masjid, perkuburan dan sebagainya. 
 
“Sehubungan itu, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pewakaf - pewakaf yang telah menyumbang harta mereka untuk jalan kebaikan dan hanya Allah S.W.T. yang mampu membalasnya,” katanya. 
 
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan / Foto : Mohd Asrar Mohd Rokeman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 01 June 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.