USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Julai 2022 – Kumpulan Dentech dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Johan (kategori Teknikal) sekaligus merangkul hadiah wang tunai RM4,000 dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat USM yang berlangsung secara maya, semalam.

Selain Kumpulan Dentech, Kumpulan Rehab Jasmine 2.0 dari Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM yang juga mewakili Kampus Kesihatan turut memenangi kategori Persembahan Terbaik serta membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.
Konvensyen KIK anjuran Pusat Transformasi Insan (PTi) Jabatan Pendaftar ini menyaksikan kehebatan tujuh (7) kumpulan yang bertanding iaitu empat (4) kumpulan bagi kategori pengurusan dan tiga (3) kumpulan bagi kategori teknikal.

Kumpulan lain yang turut menyertai pertandingan ini ialah Pencetus Transformasi (kategori Pengurusan) dan C-Near (kategori Teknikal) dari Kampus Kejuruteraan, kumpulan Protech ADL (kategori Pengurusan) dan UPN (kategori Teknikal) dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta kumpulan MYLeansPHS (kategori Pengurusan) dari Kampus Induk.

Setiap kumpulan yang bertanding perlu melalui sesi soal jawab bersama dua (2) orang Panel Juri Jemputan dari Perbadanan Kualiti Malaysia (MPC) Wilayah Utara.

Konvensyen KIK kali ini turut menobatkan kumpulan Proteh ADL dari IPPT sebagai Johan bagi kategori Pengurusan. Kumpulan yang memenangi konvensyen ini akan meneruskan perjuangan ke Konvensyen Peringkat Universiti Awam (UA) anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos ini.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Syuhazlina Marini Awg. Mat