USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2022 – Peniaga dan penggerai kafe Murni, Nurani dan Harmoni di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) bersetuju menyahut seruan kerajaan untuk menawarkan menu sihat atau menu ekonomi kepada pelajar serendah RM3.50 bagi satu hidangan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, berkata, saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan menu jualan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 adalah bertepatan ekoran kenaikan harga barangan sejak akhir-akhir ini.
“Hal itu bagi meringankan kos perbelanjaan pelajar universiti sekaligus membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup khususnya golongan B40.
“Bagi pihak pengurusan Kampus Kesihatan, saya memuji sikap rasa tanggungjawab para pengusaha kafe dalam menyahut saranan KPT dan menghargai kerjasama semua peniaga serta penggerai kafe dalam kawasan Kampus Kesihatan menyediakan menu makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 bagi setiap hidangan untuk pelajar,” katanya.
Shaharum berkata, walau bagaimanapun, bagi pelajar yang berkemampuan, mereka boleh memilih hidangan atau menu berlainan pada harga biasa yang lebih mahal.
“Saya percaya dengan pelaksanaan usaha ini, semua pelajar di Kampus Kesihatan mampu membeli makanan serendah RM3.50 bagi membolehkan mereka mendapatkan hidangan lengkap dan bernutrisi dengan harga berpatutan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi setiap hidangan akan diperkenalkan menerusi inisiatif’ Food Basket Siswa Keluarga Malaysia’ pada 4 Julai lalu.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman