KOTA BHARU, KELANTAN, 23 Julai 2022 – Bagi menjayakan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Peringkat Negeri Kelantan 2022, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Outreach Health Screening’ Keluarga Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – Hospital USM di Perkarangan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, hari ini.
Program JAKM peringkat Negeri Kelantan diadakan selama tiga hari iaitu pada 22 hingga 24 Julai 2022 merupakan susulan Program 100 Hari Keluarga Malaysia yang diadakan di KLCC pada 9 hingga12 Disember tahun lalu. Program JAKM sebelum ini telah berlangsung di negeri Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan terakhir di Perak. Semua kementerian dan jabatan kerajaan melalui agensi masing-masing disaran untuk menjayakan program ini berfokuskan kemudahan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, Hospital USM sebagai salah sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang bernaung di bawah KPT tidak terkecuali untuk menjayakan program sempena JAKM ini.
“Program ‘Outreach Health Screening’ Keluarga Malaysia KPT – Hospital USM merupakan satu platform bagi kerajaan melalui Hospital USM untuk menjalankan aktiviti promosi, kempen kesedaran, rawatan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat.
“Selain itu, kerajaan juga menyedia dan meluaskan perkhidmatan klinik bergerak dengan peralatan kesihatan yang baik dan mencukupi untuk menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti melalui peruntukan bajet KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS),” ujarnya.
Nik Hisamuddin berkata, memandangkan bas perkhidmatan Klinik Bergerak KRIS belum bersedia untuk program kali ini, Hospital USM membawa Pasukan Program Libatsama Komuniti USM - Merican, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang mendapat dana daripada Yayasan Merican bagi menjalankan aktiviti komuniti pada hari ini.
“Saya percaya program ini dapat memupuk kesedaran dalam komuniti tentang kepentingan saringan pemeriksaan kesihatan supaya masyarakat boleh mengenalpasti penyakit dan mendapatkan rawatan lebih awal bagi mengelak berlakunya komplikasi yang lebih teruk.
“Selain itu, ia juga merupakan platform untuk memperkenal perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan di Hospital USM serta Pasukan KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) dan Pasukan Program Libatsama Komuniti USM - Merican yang bergerak aktif di dalam komuniti,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyeru kepada semua penduduk yang hadir untuk berkongsi dengan masyarakat setempat agar datang dan mengambil peluang menyertai aktiviti pemeriksaan kesihatan kerana Hospital USM membawa kepakaran daripada Jabatan Oftalmologi, Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Unit Perubatan Pemulihan atau Rehabilitasi serta ‘Breast Cancer Awareness and Research Unit’ atau lebih dikenali sebagai BestARI bagi melakukan saringan kesihatan percuma.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Imam Tua Masjid Sultan Ismail Petra, Ustaz Muhammad Hafizi Ramli, bagi pihak jawatankuasa masjid, beliau sangat berterima kasih kepada Hospital USM kerana memilih Masjid Sultan Ismail Petra untuk melaksanakan program pada hari ini.
“Program sebegini sangat berguna kepada komuniti setempat yang tidak berkesempatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital bagi mengenalpasti tanda-tanda awal penyakit yang dihidapi sebelum ia menjadi lebih parah.
“Saya berharap agar pihak Hospital USM dapat meneruskan program sebegini pada masa akan datang bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan khidmat nasihat tentang tahap kesihatan mereka,” katanya.
Program ‘Outreach Health Screening’ Keluarga Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – Hospital USM hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 orang masyarakat setempat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, PPSP USM merangkap Pengerusi Program Libatsama Komuniti USM - Merican, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Penolong Pendaftar Kanan,Unit Pentabiran dan Kemudahan Am Hospital USM mewakili Timbalan Pendaftar Kanan, Azharuddin Abdul Aziz.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman