ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PENYUSUAN SUSU IBU: PERANAN SEMUA PIHAK DIDIK DAN SOKONG PARA IBU


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Ogos 2022 – Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia merupakan aktiviti tahunan yang disambut pada setiap minggu pertama pada bulan Ogos setiap tahun. Walaupun mempunyai tema berbeza setiap kali penganjurannya, namun sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan susu ibu. 
 
Minggu penyusuan biasanya disambut secara besar-besaran di kebanyakan negara di seluruh dunia. Sambutan ini juga diadakan secara meriah di kebanyakan fasiliti kesihatan awam dan swasta seluruh Malaysia bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat dicapai oleh semua kumpulan sasaran. 
 
SAVE 20220804 132738
 
Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang mewakili Pengarah Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, bersesuaian dengan tema Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini iaitu ‘Step Up For Breastfeeding, Educate And Support’, penyusuan susu ibu perlu melibatkan sokongan daripada pelbagai peringkat masyarakat dalam perkhidmatan kesihatan, tempat kerja dan komuniti secara optimum yang dipanggil ‘Warm Chain’. 
 
“Sasaran utama ‘warm chain’ dalam amalan penyusuan susu ibu termasuk kerajaan, sistem kesihatan, tempat kerja dan komuniti perlu diperkasa, dididik dan diberi kuasa untuk mengukuhkan peranan mereka bagi menyedia dan mengekalkan persekitaran mesra penyusuan untuk keluarga selari dengan situasi global pasca pandemik. 
 
“Walaupun kemajuan telah dicapai, tugas melindungi, menggalak dan menyokong penyusuan susu ibu menjadi lebih mencabar berikutan pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik yang semakin berleluasa,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2022 peringkat Hospital USM, hari ini. 
 
SAVE 20220804 132745
 
Zaidi berkata, ibu yang dijangkiti virus COVID-19 perlu diberi sokongan dan pendedahan untuk meneruskan penyusuan susu ibu menerusi langkah-langkah dan penjagaan kebersihan diri yang betul.  
 
“Bagi ibu yang terpisah daripada bayinya, mereka perlu dilatih dan diberi dorongan untuk pemerahan susu secara berterusan sehingga tamat tempoh kuarantin.  
 
“Ibu bapa juga perlu diberi pendidikan tentang tanggungjawab membuat keputusan yang bijak bagi memastikan bayi mereka mendapat makanan yang selamat dan berkhasiat untuk tumbesaran bayi,” jelasnya lagi.  
 
SAVE 20220804 132731
 
Dalam majlis yang sama, Zaidi turut melancarkan ‘e-book’ bertajuk ‘An Easy Way To Teach Breastfeeding’ panduan penyusuan yang diterjemah ke Bahasa Inggeris berbentuk carta flip berserta model payudara dan bahan pengajaran bagi memudahkan sesi pembelajaran penyusuan susu ibu. 
 
Menurut beliau, carta flip berkenaan sesuai digunakan sebagai panduan penyusuan yang diusahakan oleh pasukan penyusuan susu ibu USM dalam usaha memberi sokongan dan kekuatan kepada ibu bapa baharu yang masih dalam usaha untuk menjayakan penyusuan susu ibu.  
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 04 June 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.