USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2022 - Dari sudut biologi, bersukan dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular, kekuatan otot dan kebolehan aerobik. Segelintir masyarakat pada hari ini sibuk bekerja sehingga tertekan dan tidak menjaga kesihatan diri.
Sukan juga merupakan salah satu agenda negara, maka Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) turut menekankan kepentingan sukan selari dengan aspirasi negara. Selaras dengan itu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM menganjurkan Karnival Sukan Pusat Pengajian Sains Perubatan 2022.
Karnival sukan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan 'happiness index' dalam kalangan warga kerja dan memupuk semangat bersukan agar sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas dalam kehidupan dan kerjaya di samping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan semua lapisan warga kerja PPSP.
Selain itu, ia juga sebagai salah satu medium untuk mencungkil bakat-bakat baharu bagi mewakili acara sukan peringkat universiti kelak.
Karnival yang berlangsung bermula 15 Ogos lalu dan bakal berakhir pada 30 Ogos nanti melibatkan enam acara sukan iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar, ping pong, boling tenpin dan badminton.
Karnival yang disertai hampir 300 warga kerja PPSP itu telah dirasmikan oleh Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman.
Teks: Mohamad Hairol Rasli / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman