ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PENJAGAAN DAN PEMULIHAN GOLONGAN OKU ANTARA FOKUS PROGRAM KRIS HOSPITAL USM MASUK KAMPUNG


TUMPAT, KELANTAN, 20 Ogos 2022 - Kempen memasyarakatkan kesihatan menjadi fokus utama program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).  
 
SAVE 20220820 114456
 
Buat kesekian kalinya, Pasukan KRIS Hospital USM, terus menyantuni masyarakat di sekitar negeri Kelantan dengan menjadikan Kampung Kok Pasir, di sini sebagai destinasi bagi merealisasi aktiviti bersama komuniti khususnya golongan orang kelainan upaya (OKU). 
 
Bertemakan 'Lestari Kesihatan Komuniti Golongan OKU' ia mensasarkan golongan istimewa tersebut yang memerlukan rawatan serta penjagaan lebih rapi di samping pendedahan kepada keluarga berkenaan teknik penjagaan bersesuaian dengan pesakit.  
 
SAVE 20220820 114434
 
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dalam ucapan perasmiannya berkata, sebagai salah sebuah Hospital Pengajar Universiti, Hospital USM telah mendapat dana dari KPT untuk melaksanakan Program KRIS. 
 
"Inisiatif ini diterjemahkan dengan pelaksanaan program ‘outreach’ dan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada komuniti terutama bagi golongan sasar di luar bandar dan B40. 
 
"Suka saya nyatakan bahawa program 'masuk kampung' hari ini adalah antara inisiatif bagi memupuk kesedaran dalam komuniti tentang kepentingan saringan pemeriksaan kesihatan supaya masyarakat boleh mengenal pasti penyakit dan mendapatkan rawatan lebih awal bagi mengelak berlakunya komplikasi yang lebih teruk. 
 
SAVE 20220820 114441
 
"Hospital USM berbesar hati membawa kepakaran daripada Unit Perubatan Pemulihan serta Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) bagi memberi peluang dan kemudahan kepada golongan OKU yang memerlukan di mana  mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat dalam proses pemulihan cara kerja, bantuan pengubahsuaian kerusi roda ikut keperluan serta peluang pembelajaran menerusi Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek", katanya. 
 
Beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa membuang rasa malu kerana mempunyai anak OKU. 
 
IMG 20220820 115604
 
"Ibu bapa sepatutnya lebih cakna kerana golongan OKU juga mempunyai hak untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa dan perlu diberi peluang pembelajaran, latihan serta pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan mereka," jelasnya lagi. 
 
Lawatan ke rumah pesakit juga diadakan selain pemeriksaan saringan kesihatan, turut diadakan juga ceramah kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan kemerdekaan serta cabutan bertuah pelbagai barangan menarik tanda penghargaan dan terima kasih kepada penduduk kampung. 
 
Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Timbalan Pengarah Klinikal merangkap Pengerusi KRIS Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, Penghulu Mukim Kok Pasir, Zakaria Yasad dan ahli jawatankuasa Masjid Mukim Tok Selehor, Kampung Kok Pasir mewakili Imam Tua, Ustaz Hushaimi Hussain. 
 
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 10 June 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.