
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 September 2022 – “Forum Transformasi Orang Kelainan Upaya (OKU) bertemakan “Transformasi OKU : dari Liabiliti kepada Produktiviti : Permata yang Diabaikan”, merupakan platform perkongsian ilmu yang tepat dalam merealisasi objektif utamanya bagi memperkasa golongan istimewa ini,” demikian ucapan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam forum tersebut, hari ini.
Menurut Wan Rosli, inisiatif mengadakan forum seumpama ini dilihat sebagai satu usaha yang baik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peluang dan kesaksamaan hak OKU dalam pendidikan dan perkhidmatan awam secara amnya.
“Seramai 150 orang peserta hadir menyertai forum ini yang bukan sahaja dapat memberikan ilmu kepada peserta, malah secara tidak langsung membuka mata masyarakat tentang perkhidmatan yang disediakan oleh Unit Transformasi OKU, PPSK dan seterusnya tampil mendapatkan perkhidmatan.
“Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT) juga merupakan antara usaha yang dijalankan oleh Unit Transformasi OKU bagi melatih golongan OKU intelek mendapat pekerjaan,” katanya.
Tambah Wan Rosli, program VT ini telah diwujudkan dengan modul lengkap yang dijalankan sejak tahun 2012 dengan penglibatan kepakaran Terapi Carakerja (Occupational Therapy) bagi pemindahan ilmu kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di mana terbukti berkesan melalui kejayaan melatih seramai 150 orang OKU. Ianya sejajar dengan Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada golongan OKU dalam semua kementerian dan ianya perlu diperluaskan khususnya ke kawasan pedalaman.
“Bertitik tolak dari situlah, forum ini dapat membuka mata ibu bapa dan masyarakat bahawa golongan OKU mempunyai potensi untuk berjaya dan mendapat pekerjaan.
“Apabila golongan ini mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan sendiri, ianya membolehkan golongan OKU bertukar status daripada liabiliti kepada produktiviti,” ujarnya lagi.
Wan Rosli turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan bekerjasama dengan Unit Transformasi OKU, antaranya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial Negeri Kelantan (PERKESO) yang memainkan peranan penting memberi sinar baharu kepada golongan OKU dalam mendapatkan pekerjaan serta PDK dalam merealisasi, menampilkan keupayaan dan menggilap potensi golongan ini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkafli Senik; wakil Timbalan Yang Dipertua MAIK, Nur Afiqah Hamidi; Penyelaras 1 Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), Dr. Norhayati Mohamad; Pengerusi bersama Kluster OKU USM merangkap Ketua Unit Transformasi OKU, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dan Pengarah Projek Forum Transformasi OKU, Dr. Nik Norliza Nik Hassan.
Program tersebut turut diisi dengan pelbagai pameran antaranya daripada Persatuan OKU Berkerusi Roda (OKUSIDA), PERKESO, JKM, Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Koperasi Cakna OKU Kelantan Berhad, Nursery Hijau Najmi, Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 dan Taska OKU Auliya.
Teks : Wan Salizawati Wan Ismail /Foto : Unit Fotografi UKAST