ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

BANGGA JADI WARGA USM ARNI JASICA TEKAD CAPAI IMPIAN BERGELAR DOKTOR PERUBATAN


USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2022 - Tidak pernah menyangka pilihan pertama permohonan kemasukan ke universiti menyebelahi dirinya apabila mendapat tawaran menjadi pelajar bidang perubatan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Itulah rezeki yang berpihak kepada Arni Jasica Yusop, 19, remaja berasal daripada masyarakat orang asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Perak.

4665e8aa 3187 4a70 8415 5864049a0e15

Arni Jasica merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Perak yang memperoleh 7A dan 3B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dalam aliran Sains yang mendapat 'Culmulative Grade Point Average' (CGPA) 3.93 sebelum diterima melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM.

Menyelusuri kisahnya yang menerima khabar gembira apabila surat tawaran melanjutkan pengajian berada di tangan, Arni bagaikan tidak percaya impiannya untuk menabur bakti kepada masyarakat hampir menjadi kenyataan.

c5c085ff f796 4b81 a2da c72098d583a3

"Sejak dibangku sekolah lagi saya bercita-cita menjadi doktor bagi memberi perkhidmatan perawatan kesihatan kepada masyarakat terutama komuniti orang asli.

"Saya juga berharap agar anak-anak daripada masyarakat orang asli tidak mudah putus asa dan terus belajar untuk mengecapi kejayaan serta bergelar mahasiswa perubatan satu hari nanti," katanya ketika ditemubual, hari ini.
Arni Jasica merupakan antara 505 orang pelajar yang mendaftar diri di Kampus Kesihatan USM bagi Sidang Akademik 2022/2023 dengan bilangan pelajar perempuan berjumlah 415 orang berbanding 90 orang pelajar lelaki.

df56192f 1472 482d b229 5fe24a7e323c

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat dalam amanatnya di Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2022/2023 mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua siswa siswi sebahagian daripada 4,283 calon yang telah ditawarkan masuk ke USM daripada sejumlah 60,161 yang memohon untuk menyambung pengajian di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

"Saudara-saudari bertuah dapat memasuki USM yang satu-satunya universiti berstatus APEX di negara kita.

"Apakah universiti APEX? APEX adalah singkatan daripada Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau dalam bahasa Inggerisnya 'Accelerated Programme for Excellence' dan USM dipilih menjalani program APEX pada 2008 sebagai sebahagian dari Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi Negara," ujarnya.

68b4363a dc3a 4f90 adcb 3c0a19e8a557

Tambah Narimah, fokus utama USM APEX ialah Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok atau 'Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow'. 

“Satu dari tindakan yang dibuat oleh USM ketika mendapat APEX ialah menjenamakan Minggu Suai Kenal sebagai Minggu Siswa Lestari dan menukar nama Klinik USM kepada Pusat Sejahtera di samping menubuhkan Pusat Kajian Kelestarian Global.

“Tujuannya ialah untuk membudayakan kelestarian dalam kalangan warga USM di samping bersama-sama memainkan peranan masing-masing dengan sewajarnya. Malah USM turut mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) untuk mengukuhkan hasrat ini,” katanya.

Menurut Narimah, perjuangan kelestarian juga bermakna USM sentiasa prihatin kepada nasib dan kebajikan mereka yang berada dalam tahap kemiskinan atau B40.

6636f8b0 b7e1 4335 b589 ac17cafbf85c

“Jangan malu jika berada dalam kumpulan ini kerana peluang untuk berjaya terbuka sama rata kepada semua pelajar yang bersedia untuk ke tengah, mengambil setiap peluang yang ada, bertemu dengan pihak yang bersedia membantu seperti pegawai di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dan Pusat Islam, Kaunselor di Unit Kaunseling serta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan oleh universiti secara aktif.

“Kini USM turut memperkenalkan Program LIFE yang dibangunkan khas untuk menghasilkan siswazah yang kreatif dan berdaya saing serta menguasai elemen HEBAT iaitu ‘Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking’.

2739c105 83df 4f35 ae16 f47cc9bb5cb2

Program ini diwujudkan bertujuan mendidik para pelajar tentang pengurusan kewangan, meneroka makmal kehidupan yang memberi pengalaman menerokai dan memahami dunia kelestarian termasuk cabaran krisis perubahan cuaca, aktiviti pemikiran inovatif berkaitan dengan penguasaan kemahiran digital dan ‘Design Thinking’,” jelasnya lagi.

Narimah turut menyeru siswa-siswi untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada semasa mengikuti sesi pengajian.

35221cf8 268b 4a92 924c c406f6dc76d7

“Saya doakan saudara-saudari sentiasa cekal (resilient) dan kental (persistent) menghadapi jerit perih sepanjang tempoh pengajian. Jadikan pengalaman di kampus sebagai sesuatu yang akan diingati sepanjang kehidupan,” katanya.

Narimah juga turut memperkenalkan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti dan Kampus Kesihatan kepada siswa siswi Sidang Akademik 2022/2023.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 31 January 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.