USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Oktober 2022 – Isu Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah isu kompleks jangka panjang yang merangkumi permasalahan perubatan dan pelbagai masalah kehidupan yang berbeza-beza mengikut kategori OKU serta tahap umur mereka.
‘World Health Organization’ (WHO) dan ‘World Bank’ menganggarkan 15 peratus (%) penduduk sesebuah negara tergolong sebagai OKU. Ini bermakna dengan jumlah penduduk di Malaysia seramai 32.7 juta, dianggarkan 4.95 juta adalah dalam kalangan OKU. Hal ini memberi impak yang sangat besar terhadap ekonomi negara apabila kerajaan terpaksa memperuntukan hampir RM1.8 billion setahun untuk penjagaan dan kesihatan mereka.
Sejajar dengan permasalahan ini, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi geran hampir RM1 juta yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menubuhkan Pusat Transformasi OKU USM - MAIK di Kampus Kesihatan USM bertujuan untuk memperkasa golongan OKU agar mereka mampu hidup berdikari dan menyumbang kepada produktiviti negara.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin yang mewakili Naib Canselor USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAIK di atas anugerah geran tersebut bagi pembinaan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK. Ianya akan menjadi mercu tanda dan pemangkin kepada perkhidmatan, penyelidikan dan pembelajaran berkaitan OKU di USM.
“Penubuhan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK ini turut menjadi harapan MAIK agar usaha USM terus dikembangkan ke seluruh daerah di Kelantan dan negeri-negeri lain bagi memastikan semua golongan OKU mendapat manfaat selain menjadi platform untuk memudahkan MAIK membantu masyarakat terutamanya golongan OKU yang memerlukan bantuan.
“Pusat Transformasi OKU USM-MAIK ini merupakan pusat sehenti OKU yang pertama di Pantai Timur dan antara yang terawal di Malaysia. Oleh itu, ia mampu menjadi model untuk dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.
Perasmian Pusat Transformasi OKU USM-MAIK telah disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Tengku Temenggong Kelantan turut berbesar hati menyampaikan sijil tamat latihan kepada pelatih OKU VT@USM, sijil tamat latihan bengkel TOT VT@USM dan sijil penghargaan kepada majikan mesra OKU VT@USM dalam majlis yang sama.
Tambah Shaharum, berbeza dengan peranan Makmal Penyelidikan Sains yang lain, Makmal Penyelidikan Sosial adalah di dalam masyarakat itu sendiri.
“Oleh itu, Pusat Transformasi OKU USM-MAIK ini akan menjadi makmal penyelidikan perkhidmatan dan pemerkasaan OKU yang menjadikan USM sebagai pemimpin dalam penyelidikan dan pembelajaran berkaitan OKU.
“Kini sudah tiba masa untuk kita mencari penyelesaian jangka panjang bagi menukar status OKU ini daripada liabiliti kepada produktiviti iaitu dengan menjadikan mereka sumber manusia kerana mereka juga mampu menyumbang kepada produktiviti negara sekiranya diberi latihan pekerjaan yang bersesuaian,” ujarnya lagi.
Menurut Shaharum, USM sebagai Universiti APEX iaitu ‘The Accelerated Program for Excellence – Transforming Higher Education For A Sustainable Tomorrow’ meletakkan golongan terkebawah dan golongan OKU sebagai sasaran utama untuk dibantu.
“USM sebagai sebuah universiti bertanggungjawab untuk mereka cipta mekanisme dan model perkhidmatan bagi mengubah masa depan golongan ini.
“Program Transformasi OKU yang dijalankan di USM adalah bertepatan dengan dasar universiti dan negara iaitu Matlamat Pembangunan Lestari dan Wawasan Kemakmuran Bersama serta Akta OKU dan melalui program ini, seramai 120 orang OKU intelek telah berjaya mendapat pekerjaan, termasuk 50 orang yang akan menerima sijil tamat latihan pada hari ini,” jelasnya.
Beliau berkata, melalui kepakaran ‘Occupational Therapy’, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM telah menjalankan program-program pemerkasaan OKU seperti latihan pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) (2012), program modifikasi khas kerusi roda (2013), Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK@USM) (2014), program pertanian komersial (2015) serta Pusat Latihan Pertanian OKU Intelek USM-JKM, di Rumah Seri Kenangan, Kemumin, Pengkalan Chepa (2019) sebagai kaedah untuk memperkasa OKU.
“Program-program tersebut adalah bersifat lestari dan terus berkembang serta berjalan sehingga sekarang. Contohnya, program modifikasi kerusi roda sehingga kini telah berjaya membekalkan sebanyak 500 kerusi roda kepada OKU di Kelantan.
“Program-program di bawah Pusat Transformasi OKU ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada agensi-agensi kerajaan seperti MAIK, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Spinal Pantai Timur, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Persatuan Autisme Kelantan, Persatuan Down Sindrom Kelantan, Yayasan Raja Shamri dan lain-lain yang turut sama membantu memperkasakan golongan OKU,” ulasnya lanjut.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Al-Marhum Tunku Abdul Rahman; Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Haji Nik Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi; Timbalan Yang Dipertua MAIK, Haji Zulkifle Ab Rahman, Pengarah JKM Negeri Kelantan, Said Sidup; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Ketua Unit Transformasi OKU USM, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim; Pegawai-pegawai MAIK dan Pegawai-pegawai USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST