ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PERUBATAN GERIATRIK: KETAHANAN WARGA EMAS DALAM DUNIA YANG BERUBAH


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Oktober 2022 - Pada tahun 2020, warga emas di Kelantan mencecah 198,000 orang dan berdasarkan unjuran tersebut, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus (%) dan pada tahun 2020, bilangan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas di negeri Kelantan sahaja sudah pun mencecah 198,000 orang. 

 
Bagi memberi pendedahan berkaitan negara tua kepada masyarakat, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Geriatrik, Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan kerjasama Unit Kejururawatan (Bes Medikal), Unit Dietetik dan Unit Perubatan Pemulihan, Hospital USM menganjurkan Program Sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2022 Peringkat Hospital USM bertemakan “Resilience of Older Persons in a Changing World’ atau ‘Ketahanan Warga Emas dalam Dunia yang Berubah’. 
 
SAVE 20221028 184058
 
Menurut Pengerusi Program yang juga Pakar Geriatrik Hospital USM, Dr. Siti Nurbaya Mohd Nawi, Perubatan Geriatrik merujuk kepada cabang perubatan yang holistik dengan penumpuan kepada aspek-aspek klinikal, pencegahan, pemulihan dan sosial secara khas dalam kalangan warga emas. 
 
“Pakar Geriatrik berperanan dalam membuat penilaian kesihatan dan merangka kaedah rawatan pesakit warga emas yang mengalami masalah-masalah kesihatan yang sering dialami oleh golongan warga emas. 
 
SAVE 20221028 184051
 
"Sebagai contoh, kelemahan fizikal seperti jatuh dan kerapuhan tulang, kemerosotan kognitif, gabungan penyakit kronik yang rumit, dengan mengambil kira faktor unik setiap warga emas mempunyai ciri-ciri yang berlainan dan respons fizikal yang tersendiri. 
 
"Selain itu, keperluan individu dari aspek pemulihan atau sokongan sosial bagi memenuhi keperluan pesakit dan juga membantu ahli keluarga mereka juga menjadi fokus dalam penjagaan kesihatan geriatrik," ujarnya. 
 
SAVE 20221028 184112
 
Tambah Siti Nurbaya, setelah seseorang itu berumur, kemerosotan pelbagai sistem dan fungsi organ akan bertambah ketara dan Pakar Geriatrik boleh membuat penilaian kesihatan secara komprehensif dan terperinci. 
 
“Disebabkan sesetengah kondisi yang sering dialami dalam kalangan warga emas dan keadaan bagi kumpulan ini seperti demensia, racauan dan terjatuh sehingga kumpulan ini memerlukan perhatian, perubatan dan penjagaan kesihatan yang khusus, Perubatan Geriatrik turut menekankan keupayaan berfungsi, berdikari dan kualiti hidup bagi golongan yang berumur,” katanya. 
 
SAVE 20221028 184118
 
Siti Nurbaya berkata, selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan warga emas, keperluan semasa dan akan datang, mereka juga perlu faham berkenaan proses penuaan yang merupakan sebahagian daripada kehidupan. 
 
"Pemahaman ini penting untuk menjadikan seseorang itu warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, aktif, produktif serta menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan. 
 
“Bagi memastikan perawatan kepada golongan warga emas dapat dilaksanakan dengan baik, pasukan khusus yang terdiri daripada ahli profesional dalam pelbagai disiplin yang merangkumi Pegawai Perubatan, Jururawat, Jurupulih Fisoterapi, Jurupulih Cara Kerja, Pakar Diet, Ahli Terapi Pertuturan dan Bahasa perlu diwujudkan untuk membantu golongan ini. 
 
SAVE 20221028 184105
 
“Secara kolektif, pasukan ahli perubatan profesional ini akan menggunakan kaedah yang lebih holistik untuk mendiagnosis dan merawat keadaan penyakit pesakit yang berumur serta memberi sokongan sosial yang mungkin diperlukan dalam rawatan pesakit tersebut,” jelasnya lagi. 
 
Selain perkongsian pakar tentang Perubatan Geriatrik, turut diadakan pameran dan pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung, cabutan bertuah, sesi senaman dan juga forum ‘Penuaan Berkualiti’. 
 
Program yang julung kali diadakan di USM ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Haji Said Sidup. 
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan dan Penyakit Dalam; Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed dan Pengasas Mesra Homecare Centre@OMERA, Mariam@Marina Musa. 
 
Teks: Marlina Zahari / Foto: Unit Fotografi UKAST

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 31 January 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.