USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 November 2022 – Sesi pendengaran awam (town hall) perkembangan semasa projek ‘Sistem Maklumat Hospital’ atau Hospital Information System (HIS) diadakan hari ini untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada staf Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai sistem baharu bagi menyelaras maklumat-maklumat pesakit dikenali sebagai HIS@USM.
Program yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM itu bertujuan untuk memberi maklumat terkini berhubung pembangunan
HIS@USM yang lebih komprehensif dan bersepadu berbanding sistem sedia ada.
Pembangunan
HIS@USM juga selaras dengan visi Hospital USM iaitu mentranformasi penjagaan kesihatan untuk kelestarian hari esok. Sistem ini akan menyimpan semua maklumat pesakit dalam bentuk digital yang lebih efisien berbanding kaedah manual sebelum ini memerlukan ruang yang banyak untuk menyimpan rekod pesakit.
Hospital USM juga memperuntukkan bajet yang besar untuk membeli sistem ini seiring dengan kecanggihan teknologi terkini agar ia mudah diakses oleh semua staf yang terlibat dengan perawatan pesakit dengan kaedah yang lebih mudah, cepat dan cekap.
Terdapat sembilan (9) modul utama yang penting dalam perawatan pesakit yang terdapat dalam
HIS@USM dan diharap sistem ini berjalan dengan baik serta berjaya membantu mengurangkan beban petugas kesihatan selain melancarkan proses kerja mereka.
HIS@USM adalah Sistem enterprise yang akan menjadi asas dalam memastikan keselamatan persekitaran Penjagaan Pesakit dan memastikan Pesakit dan petugas kesihatan dapat mengelakkan kejadian buruk (adverse event) yang akan membahayakan Pesakit dan petugas kesihatan Hospital USM dengan memastikan Maklumat yang tepat diperolehi petugas kesihatan yang tepat pada masa yang tepat dan membolehkan rawatan tepat diberikan kepada pesakit Hospital USM.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM,
Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Klinikal, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Penyelaras Sistem Pengurusan Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam merangkap Pengurus Projek
HIS@USM, Profesor Madya Dr. Azlan Husin.
Teks : Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Muhd Zulkifli Zakaria