USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Februari 2023 - Geran Libatsama Universiti - Komuniti merupakan inisiatif pembiayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyokong pelaksanaan program-program pemindahan ilmu, kemahiran serta kepakaran universiti kepada komuniti menerusi projek-projek khas yang disasarkan untuk meningkatkan sosioekonomi serta kesejahteraan hidup para peserta.


Sejak pengenalan geran tersebut pada tahun 2008, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) selaku penyelaras telah melaksanakan pelbagai projek antaranya ialah memulakan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) formula USM dengan beberapa nilai tambah kepada program asal yang diasaskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Program PPDK USM dipelopori oleh Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dengan kerjasama JKM dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU di Kota Bharu mensasarkan peserta bukan sahaja mampu mengurus diri sendiri, tetapi juga dilengkapi dengan ilmu serta kemahiran bagi meraih pendapatan untuk sara hidup serta membantu keluarga. Program ini juga adalah hasil impak positif Pelan Transformasi APEX Universiti yang dilancarkan oleh KPT sejak tahun 2008.


Hari ini, delegasi KPT, Kementerian Kewangan, JKM dan wakil- wakil Universiti Awam (UA) hadir ke Kampus Kesihatan untuk menilai keberkesanan program, prestasi perbelanjaan serta meninjau pengoperasian setiap projek yang sedang berjalan.
Delegasi diberi taklimat oleh Ketua Pusat Transformasi (PT) OKU USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim sebelum tinjauan di beberapa lokasi. Selain PPDK, mereka turut dibawa meninjau sekitar PTOKU USM – MAIK, Makmal Simulasi Pekerjaan, Pusat Modifikasi Kerusi Roda, Tapak Penternakan Ayam Kampung Kacuk, Pertanian Fertigasi dan Taska OKU Auliya.

Melalui perkongsian kepakaran yang ada di USM ini diharap dapat membantu Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain untuk memperkasa lagi usaha mereka ke arah memantapkan hala tuju dan kelangsungan program transformasi OKU di tempat masing-masing.
Istimewanya, delegasi ini turut disertai oleh wakil-wakil Sekretariat PPDK daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk mempelajari kelestarian pelaksanaan Geran Libatsama Universiti formula USM.

Turut hadir menyertai lawatan ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Kaliyapan A/L Rajakumaran; Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Foo Sook Fuang; Pengarah Jabatan Pembangunan OKU, JKM, Zuhaimi Omar; Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; sekretariat PPDK Kampus Induk USM dan para pegawai BJIM USM.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman