PASIR PUTEH, KELANTAN, 23 Mac 2023 – Seiring dengan visi Universiti Sains Malaysia (USM) ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’, Bahagian Jaringan Industri Masyarakat (BJIM) melalui Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata untuk Pelajar sempena Program Saringan Penglihatan Pelajar Asnaf B40.
Kira-kira 200 orang pelajar dipilih menerima cermin mata percuma mengikut penggiliran setiap daerah di Kelantan termasuk 15 pelajar terpilih dari enam (6) buah sekolah di daerah Pasir Puteh.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, Program Saringan Penglihatan Pelajar Asnaf B40 diketuai oleh Profesor Dr. Shatriah Ismail yang merupakan Pakar Mata Kanak-Kanak USM.
"Pasukannya diberi tanggungjawab melatih guru-guru Pendidikan Kesihatan melibatkan 10 daerah di seluruh negeri Kelantan dengan memfokuskan pemilihan para pelajar yang mempunyai masalah mata terutamanya mata juling.
"Program ini amat istimewa kerana rujukan pelajar dibuat terus oleh guru-guru kepada pakar mata kanak-kanak melalui ‘google form’ dan pemeriksaan konsultasi mata dibuat di setiap PPD," katanya.
Tambah Shaharum, kaedah rujukan ini menjimatkan masa menunggu, memudahkan semua pihak yang terlibat dan tempoh untuk pelajar memperoleh cermin mata adalah singkat iaitu antara dua hingga tiga bulan sahaja.
“Program seperti ini dapat membantu para pelajar terutama di kawasan pedalaman untuk mendapatkan rawatan kepakaran yang ada di USM selain peranan penting turut dimainkan oleh guru-guru sekolah dalam pemilihan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka adalah individu paling rapat dengan pelajar ketika di sekolah," jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut salah seorang penerima cermin mata dari Sekolah Kebangsaan Seri Aman, Nurul Izatie Ide Abdullah, beliau amat gembira serta teruja apabila namanya terpilih sebagai penerima cermin mata.
“Saya amat berterima kasih kepada USM kerana memberikan cermin mata yang direka khas ini bagi membantu saya melihat dengan lebih jelas ketika belajar dan meneruskan kehidupan seharian.
“Terima kasih juga kepada guru-guru dan ibu bapa kerana banyak membantu dan bersabar melayan kerenah saya sebelum ini,” katanya yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai PPD Pasir Puteh, Tuan Silmi Tuan Ismail; Timbalan Pegawai PPD (Sektor Pembangunan Murid), Afifi
Abdullah@Omar; Ketua jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, PPSP, USM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Pensyarah Jabatan Pendidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, PPSP, USM, Profesor Madya Dr. Mohd Zarawi Mat Nor.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman