USM, KUBANG KERIAN, 11 Julai 2018 - Majlis Solat Hajat untuk bakal jemaah haji yang terdiri dari warga staf Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dan ahli kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan bagi tahun 1439H telah berlangsung di sini, semalam.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Nudri Wan Daud, tahun ini merupakan tahun yang bertuah kepada Kampus Kesihatan kerana seramai 31 orang staf dan empat orang kariah masjid telah terpilih untuk mengerjakan ibadah haji.
“Tahun ini merupakan tahun yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya mengikut pecahan bakal haji daripada warga Kampus Kesihatan iaitu 12 orang daripada Hospital USM, tujuh orang daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), empat orang daripada Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), tiga orang daripada Jabatan Pembangunan, masing-masing dua orang daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Jabatan Bendahari serta seorang daripada Jabatan Pendaftar,” katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Islam Kampus Kesihatan.
Kira-kira 400 orang warga kampus dan ahli kariah masjid bersama-sama mengadakan solat hajat bagi memohon agar dipermudahkan segala urusan bakal jemaah haji semasa berada di tanah suci di samping mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat sekitar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan PPSG, Profesor Dr. Adam Husein serta ketua-ketua jabatan.
Teks/Foto: Abdul Aziz Latif