ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF: KE ARAH KELESTARIAN KESIHATAN


USM, KUBANG KERIAN, 14 Ogos 2018 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap berpegang teguh kepada visinya untuk membangun dan memperkasakan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) di Malaysia, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.

Demikian kata Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Dzulkefly Ahmad semasa merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

yb menteri1

Menurut Dzulkefly, antara usaha yang telah dilaksanakan oleh KKM ke arah merealisasikan visit tersebut demi kelestarian kesihatan adalah penerbitan Dasar PT&K Kebangsaan pada tahun 2001, penubuhan Bahagian PT&K pada tahun 2004 dan penawaran perkhidmatan PT&K di 15 hospital kerajaan.

"Terdapat enam modaliti yang ditawarkan di hospital-hospital tersebut iaitu urut tradisional, akupunktur, shirodhara, terapi basti luaran, terapi varman dan rawatan herba sebagai rawatan sampingan kepada pesakit kanser. 

yb menteri2

"Setiap perkhidmatan PT&K yang ditawarkan adalah berpandukan garis panduan amalan yang dibangunkan oleh KKM iaitu indikasi perkhidmatan, regim, prosedur kerja perkhidmatan dan sistem rujukan yang ditetapkan," ujarnya.

Dzulkefly turut memahami kehendak pengamal PT&K untuk mengintegrasikan perubatan tradisional dan konvensional, namun ianya perlu melalui perjalanan yang masih panjang. 

yb menteri3

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail pula mengharapkan para penyelidik USM untuk terus berusaha memberikan sumbangan dari pelbagai sudut seperti penyelidikan, pembangunan produk dan intervansi kesihatan menerusi bidang masing-masing untuk kelestarian bidang perubatan dan penjagaan kesihatan. 

"Para penyelidik khususnya perlu menjalankan penyelidikan dari peringkat fundamental kepada klinikal dan seterusnya berupaya untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penghasilan produk terapeutik berskala industri dan ianya sejajar dengan konsep penterjemahan penyelidikan (Translational Research). 

"Bagi mencapai matlamat ini, sokongan padu dari pihak kementerian sangat diperlukan, selain itu kerjasama dan hubungan yang akrab antara para penyelidik, agensi kerajaan dan swasta, pengamal perubatan serta masyarakat juga perlu untuk mewujudkan jaringan perkongsian ilmu dan amalan atau praktis yang betul dan selamat," jelasnya. 

Sementara itu, Pengerusi Bersama seminar, Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain berkata, objektif program adalah untuk berkongsi ilmu mengenai konsep asas penjagaan kesihatan menggunakan kaedah perawatan integratif dan cara mempraktikkannya secara berkesan.

Seminar Perubatan Integratif dianjurkan bersama oleh Unit Perubatan Integratif dan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM selama dua hari bermula hari ini disertai oleh 350 orang peserta dalam dan luar Kelantan termasuk dari Brunei, yang sebilangan besarnya terdiri daripada ahli akademik, pelajar, pengamal perubatan moden dan tradisional serta orang awam.

Turut hadir dalam majlis perasmian adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan mewakili Menteri Besar Kelantan, YB Dr. Izani Hussin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr. Zaini Hussin; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; pegawai-pegawai utama JKNK, pengarah-pengarah hospital dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 27 January 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.