USM KUBANG KERIAN, 18 Ogos 2018 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Rajanagarinda Institute of Child Development (RICD), Thailand menyumbangkan 30 buah kerusi roda modifikasi khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).
Sumbangan ini adalah hasil Perjanjian Persefahaman yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak pada Mei 2012 merupakan inisiatif bersama USM-RICD dan pertama dilaksanakan di Malaysia bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha melengkapi hak keistimewaan OKU.
Kerusi roda yang telah dimodifikasi khas telah direka dan disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan pengguna OKU ini menelan kos hampir RM200,000 untuk keseluruhan 30 unit kerusi roda pada tahun ini. Proses modifikasi dilakukan oleh Bahagian Rehabilitasi Kesihatan (Cara Kerja), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), USM.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, Hajah Mumtaz Md Nawi yang merasmikan program tersebut amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh USM dalam memperjuangkan keperluan utama OKU ini.
"Syabas dan tahniah buat USM dan RICD atas kerjasama ini yang mana secara tidak langsung membantu mengukuhkan reputasi USM sebagai institusi yang memperjuangkan transformasi masa hadapan melalui jalinan kerjasama dengan komuniti," katanya.
Terdahulu, Dekan PPSK yang mewakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr Norazmi Mohd Nor berkata, pihaknya mengharapkan agar projek ini dapat diteruskan ke peringkat nasional memandangkan isu hak dan kesamaan OKU perlu dipandang serius.
"USM amat komited dalam memperjuangkan agenda OKU dan memenuhi keperluan golongan ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sihat, selesa dan produktif.
"Sehingga kini, USM di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah mempunyai perkhidmatan sepanjang hayat untuk OKU, Latihan Vokasional, Penilaian OKU Multi-Disiplinari, program sukan OKU dan termasuk program Sumbangan Kerusi Roda Modikasi Khas ini. Malah USM kini ada projek Pendidikan Inklusif (P.R.I.N.C.E) di peringkat taska dan tadika," ujarnya.
Menurut Norazmi, hal ini merupakan usaha mengurangkan jurang dan meningkatkan kesaksamaan pendidikan di antara pelajar aliran perdana dan OKU.
Beliau turut berharap agar kerjasama USM-RICD ini menjadi pemangkin yang berharga dan bernilai untuk memelihara dan menyemarakkan semangat memperkasakan penglibatan komuniti dalam usaha membina masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Konsulat Thailand di Kota Bharu, Ms Jantarat Ngamchana, Timbalan Pengarah Kesihatan Wilayah Selatan Thailand, Dr. Pechdau Tohmena dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Said Sidup.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Khairul Ithma Mahadi