USM KUBANG KERIAN, 19 Ogos 2018 – Kebelakangan ini kemalangan sering dikaitkan dengan kecuaian pengguna jalan raya yang sering memandang remeh terhadap pemakaian tali pinggang keledar, penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan tidak mematuhi panduan jalan raya.
Menyedari perkara tersebut, Jabatan Keselamatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan taklimat berkaitan keselamatan jalan raya dan penerangan jelas tentang jenayah komersil yang kini semakin tular di media sosial.
Pegawai Penyelarasan Projek, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan, Hanazaine Hanafi berkata, sikap segelintir masyarakat yang tidak mengambil berat akan keselamatan diri dan orang lain serta tidak mengikut panduan yang ditetapkan turut menjadi faktor utama kemalangan jalan raya.
“Turut menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya di Malaysia ialah penunggang dan pemboceng motorsikal yang rata-rata dimonopoli oleh remaja bawah umur tetapi yang turut menerima kecelakaan dari kecuaian mereka adalah pemandu lain.
“Ibu bapa juga menjadi salah satu punca terjadinya kemalangan di jalan raya apabila membiarkan anak-anak menunggang motorsikal tanpa pengawasan kerana kesibukan bekerja,” katanya ketika menyampaikan taklimatnya kepada hampir 150 peserta di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM.
Tambah Hanazaine, menurut statistik tahun 2017 sehingga bulan Julai 2018, Malaysia kini berada di tangga keempat manakala Kelantan mencatat kematian seramai 442 orang bagi penunggang dan pemboceng motorsikal.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud ketika mengupas isu jenayah komersil yang semakin tular di media sosial pula berkata, jenayah siber kerap berlaku tanpa mengira mangsa sama ada golongan profesional ataupun tidak memandangkan penjenayah tidak mempunyai data yang lengkap.
“Pada masa kini, banyak kes penipuan melibatkan harta-benda serta penipuan mahupun penyamaran contohnya menggunakan gelaran dari istana untuk menipu golongan profesional bagi mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
“Dengan teknologi semakin moden, penipuan lebih senang dijalankan melalui media sosial kerana ia sukar dijejaki dan penipu hanya perlu menggunakan skrip mengikut turutan dalam media sosial tanpa perlu berjumpa mangsa,” katanya.
Menurut Zulmazi lagi, modus operandi utama pada masa sekarang adalah ‘Love Scam’ yang didalangi oleh warga Nigeria dan Afrika dengan menjanjikan barang berharga kepada mangsa agar mangsa terpengaruh tetapi sebenarnya barang yang dijanjikan tidak pernah wujud.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Timbalan Pendaftar Hospital USM, Mohd Saberi Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Keselamatan Kampus Kesihatan, Eady Othman dan Pengurus Operasi Pusat Media dan Perhubungan Awam Kampus Kesihatan, Wan Azahar Wan Ahmad.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria