USM KAMPUS KESIHATAN, 6 Sept. 2018 - "Universiti Sains Malaysia (USM) akan memberikan ruang kepada semua pelajar untuk menjadi yang terbaik, jadikan tempoh empat hingga lima tahun pengajian di Universiti sebagai tempoh transformasi agar apabila keluar kelak, saudara dan saudari digilap dan bersinar. Oleh itu, rebutlah sebanyak mungkin peluang yang ada dan kumpul juga pengalaman dalam tempoh pengajian saudara dan saudari", itulah antara amanat yang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2018/2019 di Kampus Kesihatan hari ini.
Menurut Asma, untuk kemasukan tahun ini, secara keseluruhannya, USM menawarkan sejumlah 4,615 peluang pengajian di ketiga-tiga kampus USM iaitu Kampus Induk Pulau Pinang (3,221 pelajar), Kampus Kejuruteraan (768) dan Kampus Kesihatan (626).
"Saya yakin bahawa saudara dan saudari pastinya antara yang terbaik kerana terpilih ke USM, sebuah universiti yang terkenal dengan moto - KAMI MEMIMPIN", ujarnya.
Pelajar yang telah mendaftar pada 2 September lalu akan mengikuti program-program Ijazah Pertama dan Diploma Kejururawatan yang ditawarkan oleh tiga Pusat Pengajian di Kampus ini iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Selain itu, ada juga dalam kalangan mereka yang mengikuti Program Antarabangsa Doktor Perubatan USM-KLE, iaitu program off-shore (luar negara) yang dikendalikan oleh USM bersama dengan Karnataka Lingayat Education Society (KLES) di Belgaum, India.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Pengarah Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman