ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

GALI PENGAJARAN DI SEBALIK PERISTIWA HIJRAH


USM KUBANG KERIAN, 18 September 2018 - Sambutan Maal Hijrah yang disambut pada setiap tahun bukanlah sekadar membaca Sirah Nabi tetapi apa yang lebih penting adalah menggali pengajaran di sebaliknya dan membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

DSC 0174

Menurut Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan, hijrah hakiki bukanlah berdasarkan retorik sejarah semata-mata, bahkan perlu untuk warga USM menghayati seterusnya menzahirkan transformasi yang menyeluruh dalam menjayakan misi dan visi universiti.

"Hati yang ikhlas akan melahirkan nilai-nilai positif dalam diri pekerja untuk melaksanakan tugas dengan tekun dan jujur serta menjaga kualiti layanan yang mesra kepada pelanggan.

"Pekerja yang menghayati nilai sebenar hijrah tidak akan berpuas hati dengan pencapaian semasa, malah akan sentiasa memajukan diri dengan meningkatkan ilmu dan kompetensi dalam budaya kerja," katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1440H peringkat Kampus Kesihatan USM yang bertemakan 'Hijrah Hakiki' di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

DSC 0096

Nik Hisamuddin berkata, hijrah adalah fenomena kekuatan umat Islam dalam menampilkan corak ajaran dan latihan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap umatnya.

"Perlu ada dalam diri setiap warga USM keazaman dan kesetiaan yang tinggi untuk membawa nama USM ke arah globalisasi Institusi Pendidikan Tinggi seterusnya menjadi model kepada universiti lain sejajar dengan penarafan satu-satunya universiti APEX di Malaysia.

"Kita tidak sepatutnya berbangga dengan anugerah yang diberi sehingga tenggelam dalam angan-angan, tetapi perlu merealisasikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita," katanya lagi.

DSC 0074

Tambah Nik Hisamuddin, usaha memartabatkan universiti 'by design not by chance', warga USM perlu melihatnya dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh kerana untuk mencapai kejayaan ini tentunya memerlukan hijrah yang menyeluruh iaitu sokongan, kerjasama serta komitmen yang padu daripada semua warga USM bermula dari peringkat tertinggi hingga ke bawah.

Nik Hisamuddin turut menyeru warga USM untuk sama-sama berubah ke arah menjadi manusia yang lebih baik iaitu cemerlang duniawi dan ukhrawi, lebih berdisiplin, berintegriti, bekerjasama seterusnya melibatkan diri dalam agenda universiti demi mencapai hasrat menjadikan USM sebagai universiti terulung di rantau ini.

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Muhammad Sham Mustapha

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 04 June 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.