USM KUBANG KERIAN, 23 September 2018 - "Saya berbangga kerana jalinan kerjasama yang saya mulakan pada lima tahun lalu, melalui penglibatan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Islamic Innovation (i-Inova) semasa pameran Orang Kurang Upaya (OKU), masih lagi berterusan dan memberi manfaat kepada banyak pihak", demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail.
Menurut Asma, USM khususnya Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) sangat komited dalam projek pembangunan OKU termasuklah Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda sejak tahun 2013 melalui memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD), Chiang Mai, Thailand hasil inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM).
“Kepakaran yang ada di USM memberi banyak peluang kepada mereka yang memerlukan dan hari ini kita berbangga kerana ia turut menjadi rujukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam memodifikasi kerusi roda berkeperluan khas untuk salah seorang pelajar yang memerlukan.
“Saudara Muhammad Hadi Darus, 22, merupakan pelajar tahun empat, Program Syariah dan Undang-undang USIM bertuah kerana dipilih untuk menerima sumbangan kerusi roda dan kasut yang dimodifikasi khas oleh Pasukan Kerusi Roda, PPSK USM dan Juruteknik Perubatan Prostetik dan Ortetik, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital USM mengikut kesesuaian dirinya,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda kepada pelajar OKU USIM yang berlangsung di Kampus Kesihatan hari ini.
Tambah Asma, istimewanya kerusi roda yang disumbangkan kepada Saudara Hadi adalah ‘motorised wheelchair’ yang beratnya hanyalah 12 kilogram sahaja berbanding ‘motorised wheelchair’ lain yang beratnya 20 kilogram.
“Ia juga boleh dilipat bagi memudahkan proses untuk dimasukkan ke dalam kereta serta mempunyai sistem kawalan (joystick) untuk memudahkan Saudara Hadi mengawal pergerakan kerusi rodanya nanti,” ujarnya lagi.
Asma berkata, Pusat Khidmat Modifikasi Khas Kerusi Roda, PPSK USM akan menjalankan perkhidmatan penilaian, ‘prescription’ dan modifikasi kerusi roda kepada pengguna kerusi roda terlebih dahulu.
“Dengan kata lain, mana-mana pesakit yang memerlukan kerusi roda akan dibuat penilaian menyeluruh dari aspek keadaan kecacatan, keperluan penggunaan serta persekitaran, sebelum sesuatu kerusi roda dicadangkan kepada pesakit.
“Sebelum penyerahan, pasukan kerusi roda akan terlebih dahulu membuat ‘fitting’ bagi memastikan ia bersesuaian dengan keadaan pesakit”, jelasnya.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM, Profesor Dr Mohamad Yahya Ariffin, Penasihat Program Transformasi OKU, PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail dan Penyelaras, Unit Transformasi OKU, merangkap Ketua Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda, PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood