USM KUBANG KERIAN, 26 September 2018 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan pesara kerajaan walaupun staf tersebut terdiri daripada pesara persekutuan atau pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Namun, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kekeliruan.
Timbalan Pengarah Operasi, Hospital USM, Profesor Dr Wan Faisham Nu’man Wan Ismail berkata, mulai bulan Julai 2017, pesara persekutuan dan pesara ATM yang ingin mendapatkan rawatan implan dan spesifik ubat perlu memohon secara terus dengan hospital yang telah diberi mandat oleh kerajaan.
"Permohonan tersebut hendaklah dibuat dengan hospital yang akan melakukan pembedahan ke atas pesara berkenaan sebelum sesuatu pembedahan dijalankan kerana kaedah yang diamalkan sebelum ini mengambil masa yang terlalu lama.
“Bermula pada tahun lalu, isteri atau suami pesara, ibu bapa pesara, anak di bawah umur 18 tahun dan anak yang berumur 21 tahun bagi yang masih belajar di universiti adalah layak mendapat rawatan secara percuma", ujarnya ketika menyampaikan taklimat dalam Sesi Pendengaran Awam yang diadakan di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, di sini semalam.
Menurut Wan Faisham, bagi mengelak sebarang masalah, staf di wad dan klinik perlu mengetahui kelayakan seseorang pesara.
"Semua pesara ATM dan polis adalah layak secara automatik. Namun, bagi pesara ATM terdapat dua kategori iaitu pegawai atasan perlu berkhidmat selama 25 tahun dan pegawai bawahan perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun.
“Antara yang ditanggung oleh kerajaan adalah ubat-ubat bukan ‘standard’ iaitu yang ditentukan oleh pakar contohnya ‘Synvisc Injection’ yang boleh dimohon sebagai rawatan percuma", jelasnya lagi.
Tambah Wan Faisham, antara rawatan bukan 'standard' adalah rawatan untuk pesakit Leukimia, ubat untuk meningkatkan 'platelet level' yang mencecah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi kos keseluruhan setiap rawatan.
"Selain itu, antara peralatan bukan 'standard' yang ditanggung oleh kerajaan pula adalah seperti ‘Heart Stamping’, ‘Chemoport’, implan dan kerusi roda.
"Pesara yang ingin membuat permohonan ini diingatkan supaya memastikan permohonan mereka lengkap dengan menyertakan salinan kad pengenalan, kad pesara, borang permohonan kemudahan perubatan dari Hospital USM dan tiga sebutharga", katanya.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria