KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Oktober 2018 - "Penyakit arteri koronori merupakan salah satu punca utama kematian di seluruh dunia termasuk Malaysia malah trend semasa menunjukkan mereka yang menghidap penyakit jantung koronori adalah pada usia yang lebih muda" demikian kata Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato Dr Azman Abu Bakar.
Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan (NHMS) 2017, 98 peratus daripada dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia dilaporkan mempunyai satu daripada faktor risiko bagi NCD seperti merokok, diet tidak sihat dan obesiti.
"Penyakit kardiovaskular menjadi fokus perubatan masa hadapan kerana penyakit arteri koronori adalah penyebab utama kematian di samping program rehabilitasi jantung yang memainkan peranan penting dalam pencegahan sekunder penyakit jantung," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Persidangan Kardiologi Peringkat Asia Pasifik Kali Ke-11 anjuran Unit Kardiologi Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Hotel Perdana, di sini.
Persidangan ini diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan amalan dalam perkhidmatan rehabilitasi kardiak di Malaysia dengan menghimpunkan seramai 295 peserta yang terdiri dari pakar jantung dalam dan luar negara bagi membincangkan kepakaran serta penggunaan teknologi terkini dalam perawatan jantung.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini diisi dengan pembentangan kertas kerja dan hasil penyelidikan pelbagai topik menarik antaranya, 'Secondary Prevention following ACS: how to improve in Asia', 'Hope in the non-ischaemic heart failure' dan 'Reality of diabetic control in secondary prevention of MACE'.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan, Dato' Dr Abdul Kahar Abdul Ghafar dan Pengerusi Persidangan Kardiologi Asia Pasifik Kali Ke-11, Profesor Dato' Dr Zurkurnai Mohd Yusof.
Teks : Mohamad Iqmal Mathlan / Foto : Wan Mohd Rashidi Wan Mood