USM KUBANG KERIAN, 21 Oktober 2018 - Setiap manusia tidak kira lelaki mahupun wanita sentiasa mengimpikan wajah yang cantik kerana wajah adalah aset penting bagi setiap individu. Bahagian pipi yang terlalu cengkung membuatkan penampilan tidak bermaya dan ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan diri.
Pakar Kraniofasial Ortodontik yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Rozita Hassan mengupas teknik perawatan muka cengkung bagi mereka yang mengalami masalah tersebut berkata, Kraniofasial Ortodontik merupakan satu bidang yang mampu merawat profil wajah cengkung.
"Beberapa konsep rawatan konvensional muka cengkung telah mengalami revolusi dengan pelbagai penyelidikan contohnya rawatan intervasi profil muka cengkung dalam kalangan remaja dewasa dan kaedah ini memberi hasil yang memberangsangkan kepada profil rangka, tisu lembut dan kegigian.
"Penggunaan 'mini screw' sebagai ankortulang rahang di dalam intervasi ini memainkan peranan dan apa yang lebih penting, kajian ini tiada sebarang kesan sampingan terhadap kesihatan sendi rahang atau sendi temporommandibula selepas tamat rawatan", ujar beliau semasa menyampaikan syarahan bertajuk, Kraniofasial Ortodontik: Rawatan Profil Wajah Cekung Di Alaf Baharu.
Menurut Rozita, di Asia Tenggara, kes muka cengkung lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan Eropah.
"Di negeri Kelantan, 15 peratus daripada pelajar sekolah menengah dalam lingkungan umur 12 hingga 17 tahun dari daerah Kota Bharu didapati mempunyai wajah profil cengkung," ujarnya lagi.
Majlis syarahan umum yang menampilkan tiga orang profesor dari PPSG dalam bidang kepakaran masing-masing berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan, di sini dengan dihadiri kira-kira 700 orang jemputan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, pegawai-pegawai utama universiti, warga kampus serta pelajar-pelajar sekolah yang dijemput.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri