USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Disember 2018 – “Semua warga Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan termasuk dalam pekerjaan”, demikian kata Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Adam Husein.
Menurutnya, apabila semua staf menunjukkan akhlak yang baik dalam pekerjaan contohnya bersikap santun semasa berurusan pesakit, pelajar, rakan sekerja, pegawai atasan atau dengan pelanggan yang lain, semua pihak akan menyenangi dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan sekali gus melonjakkan kecemerlangan universiti.
“Sikap santun yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW seperti budi pekerti yang halus, beradab, lemah lembut, tertib, baik perangai, sopan, bertimbang rasa, belas kasihan kepada orang lain, bersimpati, murah hati dan suka menolong orang lain adalah penting bagi melahirkan insan yang cemerlang dan keluarga yang sejahtera.
“Hal ini juga menggambarkan masyarakat kita hidup bertoleransi, mempunyai hubungan baik, saling menghormati dan bekerjasama membangunkan negara ke arah negara maju, bertamaddun dan dihormati”, katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1440H Peringkat Kampus Kesihatan, di sini.
Adam yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian berkata, sambutan Maulidur Rasul diadakan setiap tahun bertujuan untuk menyuburkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan semangat untuk menghayati sunnah baginda dalam kehidupan harian serta memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara dan menyambung risalah agama Islam agar terus berkembang dan dihayati hingga ke hari kiamat.
Bertemakan “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini lebih meriah dengan kehadiran penceramah jemputan terkenal iaitu Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali dengan panggilan Imam Muda Asyraf, Juara Imam Muda Musim Pertama 2010.
Selain itu, pelbagai pengisian lain turut diadakan antaranya diskusi kekeluargaan, persembahan qasidah, deklamasi sajak, montaj sambutan, pemeriksaan dan pameran kesihatan, cabutan bertuah dan 20 kaunter pameran agensi luar yang lain.
Teks : Nik Sheila Erini Che Mat Kamel /
Foto : Mohammad Faisal Mohd Afly