ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

KERINTANGAN ANTIBIOTIK BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI


KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Disember 2018 - Antibiotik adalah ubat yang membunuh dan merawat pembiakan jangkitan bakteria seperti jangkitan radang paru-paru dan saluran kencing tetapi tidak sepatutnya digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selesema, batuk dan sakit tekak.

Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik tersebut hilang keupayaan membunuh atau menghalang pembiakan bakteria sehingga ia menjadi kebal terhadap antibiotik dan rawatan sedia ada tidak lagi berkesan.

Nur aimi

Menurut Pegawai Farmasi, Unit Farmasi Klinikal dan Maklumat Drug, Hospital Universiti Sains Malaysia, Nur Aimi Mohamad, punca berlakunya kerintangan antibiotik adalah disebabkan pengambilan antibiotik tanpa perskripsi yang betul oleh doktor.

"Ini termasuklah pengambilan antibiotik secara berlebihan, tidak mengambil antibiotik seperti yang tertera pada label iaitu dos dan masa yang betul, tidak menghabiskan rawatan antibiotik dan menggunakan antibiotik walaupun tidak perlu.

"Jika pesakit memerlukan rawatan antibiotik, ianya perlu diambil seperti yang dinasihatkan oleh pengamal kesihatan," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan 'Sembang Sihat' bersama Kelantan FM, di sini.

Tambah Aimi, kesan kerintangan antibiotik boleh membawa maut kerana jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang rintang sering kali gagal untuk bertindak balas terhadap rawatan biasa yang menyebabkan penyakit berpanjangan dan sukar diubati.

"Ini menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit berjangkit selain meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan dari segi penggunaan ubat antibiotik yang lebih kuat atau mahal dan tempoh rawatan akan bertambah panjang," ujarnya lagi.

Aimi turut menasihati orang ramai supaya mempraktikkan cara pengambilan antibiotik yang betul iaitu dengan berjumpa doktor bagi memastikan pesakit tersebut memerlukan rawatan antibiotik atau tidak.

"Sebetulnya pesakit perlu mengambil antibiotik mengikut arahan yang tertera pada label seperti dos dan masa yang betul.

"Begitu juga dengan cara pengambilan antibiotik yang terbahagi kepada dua iaitu tiga puluh minit bagi yang sebelum makan manakala dua jam bagi yang selepas makan selain kaedah penyimpanan yang betul seperti disimpan pada suhu bilik dan atau disimpan dalam peti sejuk tertakluk pada arahan," jelasnya.

Beliau juga menegaskan supaya jangan sekali-kali menggandakan dos sekiranya terlupa mengambil dos sebelumnya, tidak boleh berkongsi antibiotik dengan orang lain dan pesakit perlu menghabiskan antibiotik walaupun telah berasa sihat bagi mengelakkan risiko berlakunya rintangan antibiotik.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 04 June 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.