KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Disember 2018 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi kenangan bermakna kepada Amirah Che Zahari, 24 apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraikan konvokesyen beliau dengan penuh istiadat di sini, hari ini.
Amirah, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan (Sastera), tidak menyangka menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dalam satu majlis khas lengkap memakai jubah konvokesyen.
Amirah menerima rawatan di Hospital USM sejak Jun lalu apabila doktor mengesahkan beliau mengalami jangkitan kulat pada bahagian saraf di kepala yang turut memberi kesan kepada penglihatannya malah tidak mampu untuk berdiri terlalu lama dan hanya terlantar di atas katil.
Menurut bapanya, Mohd Zahari Saat, 63, sebelum penyakitnya itu menjadi serius, beliau hanya mengadu sakit kepala ketika menjalani Latihan Industri (LI) sebelum dirujuk ke Hospital USM untuk mendapatkan rawatan lanjut sehingga terpaksa menjalani peperiksaan akhir semester di dalam wad.
"Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas layanan dari UMK dan Hospital USM yang bersusah payah membuat majlis konvokesyen ini untuk memberi peluang kepada Amirah merasai suasana konvokesyen biarpun hanya di dalam wad.
"Saya hanya mahu anak kami sihat seperti biasa macam dahulu dan konvokesyen ini akan menjadi kenangan manis buatnya," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Anak ketujuh dari lapan beradik itu amat gembira, terharu dan bersyukur kerana berjaya menggenggam segulung ijazah sambil disaksikan secara dekat oleh kedua ibu bapa tersayang selain turut menerima ucapan tahniah dari pihak pengurusan tertinggi UMK dan Hospital USM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Profesor Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Zaliman Sauli, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM merangkap Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Dr. Adam Husein dan Pemangku Pengarah Hospital USM merangkap Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Nik Min Ahmad.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria