USM KUBANG KERIAN, 14 April 2018 - Bidang Sains Forensik bukanlah bidang baharu namun pendedahannya tidak meluas sebagaimana bidang perubatan walaupun forensik adalah salah satu komponen dalam perubatan, pergigian dan sains kesihatan.
Berfokuskan tujuan untuk memperkenal dan menyebarluaskan bidang sains forensik, Persatuan Sains Forensik (Fossa), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan pameran 'Now You See Me 2018'.
Pemilihan tema ‘Now You See Me’ adalah selari dengan tujuan pameran iaitu sebagai pendedahan tentang apa itu sains forensik dan melalui pameran ini juga, pengunjung boleh melihat sendiri contoh-contoh dadah, teknik-teknik penyiasatan serta prosedur bagaimana pesalah jenayah dibawa ke muka pengadilan dengan bantuan analisis dan proses sains forensik yang berkaitan.
Menurut Pengerusi Program Sains Forensik, Nik Fakhurudin Nik Hassan, bidang sains forensik kini sebaris dengan bidang- bidang profesional yang lain.
"USM merupakan universiti terawal yang menawarkan program Pengajian Sains Forensik di peringkat Ijazah pertama pada tahun 2000 dan kini PPSK telah mampu menawarkan bidang pengajian tersebut pada peringkat sarjana serta doktorat (PhD).
"Stigma masyarakat apabila disebut forensik, mereka hanya memikirkan tentang pembedahan dan penyiasatan pada mayat akan tetapi ianya lebih daripada itu kerana setiap kejadian jenayah, siasatan oleh pakar-pakar forensik amat diperlukan bagi mendapatkan segala bukti kejadian," ujar beliau semasa ditemui selepas majlis perasmian di Dewan Nurani.
Pameran yang turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood