USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Mac 2023 – Menerusi kerjasama Jawatankuasa Kecil Kebakaran dan Harta, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, latihan kawad kebakaran telah diadakan hari ini.



Simulasi kawad kebakaran yang bermula pada jam 3 petang itu melibatkan Blok 0104 yang menempatkan Unit Perubatan Pemulihan, Makmal Magnetoencephalography (MEG), Unit Pemakanan dan Dietetik, Perkhidmatan Laser Refraktif, Unit Kerja Sosial Perubatan, Unit Rakan Bayi serta Unit Penyelidikan dan Kesedaran Kanser Payudara (BestARi).



Apabila loceng penggera dibunyikan, Ketua Unit mengarahkan semua staf di unit masing-masing untuk pengungsian segera ke tempat berkumpul yang telah diwartakan iaitu di kawasan parkir berhadapan Blok Wad 8 tingkat. Proses pengiraan dilakukan bagi memastikan semua yang terlibat selamat sampai ke tempat berkumpul sebelum dilaporkan kepada pihak bomba.



Latihan ini bertujuan untuk menguji sejauh mana kesiapsiagaan staf Hospital USM apabila berlaku kecemasan serta mengenalpasti aset penting seperti loceng penggera kebakaran berfungsi dengan baik.


Turut hadir semasa program berlangsung ialah Pegawai Bomba Kanan 1 merangkap pemerhati, Mohd Nazri Ab. Rahman dan Ketua Jawatankuasa Kecil Kebakaran dan Keselamatan Harta, Hospital USM, Dr. Nik Aimanfaisal Wan Shamsudin.