USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Mac 2023 – Kaunter Saringan COVID-19 (KSC) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) ditutup sepenuhnya hari ini.
KSC diwujudkan pada 1 November 2021 untuk menyaring kemasukan pesakit dan peneman pesakit ke dalam wad melalui ujian calitan (swab test) bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 di zon perawatan pesakit selain memastikan individu yang memasuki fasiliti perawatan bebas COVID-19.
Penutupan KSC adalah selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran jumlah jangkitan kes COVID-19 semakin berkurang. Walau bagaimanapun, pesakit yang datang untuk menjalani prosedur tertentu masih perlu melakukan ujian saringan sekiranya bergejala. Masyarakat juga digesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka apabila memasuki premis kesihatan dan berada di persekitaran yang ramai orang serta membuat ujian saringan sekiranya bergejala.
Hadir menyaksikan simbolik penutupan KSC ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan, Unit Klinikal, Hospital USM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd dan Penyelaras Klinik Saringan Infeksi, Dr. Nur Suhaila Idris.