‘ASIA PASIFIC CARDIOLOGY UPDATE’ MEDAN PERTUKARAN DAN PERKONGSIAN ILMU TERKINI DALAM BIDANG KARDIOLOGI

KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Oktober 2019 –Persidangan “Asia Pacific Cardiology Update 2019” (APCU) merupakan platform terbaik untuk pertukaran dan perkongsian ilmu pengetahuan di kalangan petugas kesihatan berkenaan perkembangan dan penemuan terkini dalam bidang kardiologi dari seluruh dunia.

Persidangan tahunan anjuran bersama Persatuan Perubatan Penyakit Dalaman Universiti Sains Malaysia (IMS-USM), Universiti Sains Malaysia (USM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ‘National Heart Association of Malaysia’ (NHAM) kali ke-12 ini bertemakan ‘New Insight In Cardiology’ telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Hotel The Grand Renai, di sini, hari ini.

cardio

Menurut Dzulkefly, penyakit kardiovaskular adalah salah satu pembunuh utama di dunia dan dianggarkan 17.7 juta orang meninggal dunia akibat penyakit ini pada tahun 2015 yang mewakili 31% daripada semua kematian global.

“Daripada jumlah kematian itu, kira-kira 7.4 juta adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari dan 6.7 juta disebabkan oleh strok.

“Malaysia mempunyai peningkatan faktor-faktor risiko kardiovaskular dalam populasi diabetes, hipertensi, dislipidaemia dan merokok membabitkan kedua-dua kumpulan jantina dan berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2015 juga mendapati bahawa 9.2 peratus atau 1.85 juta rakyat Malaysia tidak tahu bahawa mereka menghidap diabetes,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Tambah Dzulkefly, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit, termasuk yang membawa kepada penyakit kardiovaskular ini.

cardio2

“Skim Peduli Kesihatan untuk B40 (PeKa B40) diperkenalkan pada tahun ini dan pada peringkat permulaan semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di atas umur 50 tahun layak menerima skim perlindungan kesihatan oleh KKM yang telah bermula sejak bulan Mac lalu.

“Namun, berikutan Belanjawan 2020 yang baharu dibentangkan oleh Menteri Kewangan, had umur kini telah diturunkan kepada 40 tahun. Dengan itu, tambahan 1.27 juta penerima yang layak akan menikmati empat manfaat di bawah PeKa B40 iaitu pemeriksaan kesihatan percuma, peralatan perubatan percuma, insentif untuk menyelesaikan rawatan kanser dan insentif pengangkutan,” katanya lagi.

Dzulkefly turut mengharapkan agar ilmu yang diperoleh daripada persidangan ini dapat dikongsi dan digunakan oleh semua pengamal kesihatan terutama yang berkhidmat di kawasan luar bandar.

cardio3

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah pula berkata, tema yang dipilih pada tahun ini mencerminkan usaha pakar kardiologi di seluruh Malaysia untuk membawa perubahan dan anjakan paradigma ke atas rawatan penyakit kardiovaskular.

“Pengetahuan mengenai spektrum penyakit kardiovaskular yang luas dan kemajuan teknologi perlu dibuat selari dengan keperluan dan usaha USM selaku penganjur mengumpulkan pakar kardiologi yang berpengalaman dan terbaik dari seluruh negara untuk memberi penerangan serta menyediakan peluang penyelidikan yang luas dan perkongsian dalam kardiologi adalah sangat bermanfaat.

“Semua petugas kesihatan yang terlibat dalam perawatan penyakit kardiovaskular perlu bersedia dengan pengetahuan terkini dan lengkap untuk mengurangkan kadar kematian penyakit kardiovaskular. Pencegahan penyakit kardiovaskular dan komplikasinya amat perlu dititik-beratkan dan masyarakat harus diberi kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup serta pemakanan yang sihat,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

doctor di radio

infomedic usmkk

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 05 Disember 2019.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.