ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

NUR AZLINA BUKTIKAN AKTIF PELBAGAI BIDANG BUKAN HALANGAN CAPAI KECEMERLANGAN


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2022 - "Kehidupan di universiti memberi peluang kepada saya untuk mendewasakan diri dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan seterusnya menzahirkan agenda HEBAT yang diperkenalkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM)", demikian petikan kata-kata Pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Nur Azlina Adris semasa menyampaikan ucapan beliau di majlis Penganugerahan Pingat Emas Utama USM di Kampus Induk. 

 
Azlina yang turut menerima Pingat Emas USM pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Sains Forensik) merupakan seorang pelajar yang sangat aktif sepanjang bergelar mahasiswi di Kampus Kesihatan USM. 
 
SAVE 20220527 181522
 
Bermula dengan menjadi ahli jawatankuasa program, beliau mendekatkan diri dalam bidang kesukarelawanan dan kepimpinan. 
 
"Dari situ, saya belajar cara-cara berorganisasi dan mengaplikasi pengalaman yang ada untuk saya membentuk diri menjadi seorang pemimpin.
 
"Berkat tunjuk ajar pelbagai pihak, saya berpeluang merasai pelbagai jawatan dalam setiap aktiviti yang diadakan dan secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang individu yang lebih berkeyakinan," ujarnya.
 
SAVE 20220527 181538
 
Anak kedua daripada enam (6) orang adik-beradik berasal dari Melaka ini ternyata seorang gadis manis yang tidak mudah mengalah dengan cabaran.  
 
Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Kampus bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kesihatan selama dua sidang akademik berturut-turut. 
 
"Semasa saya memegang jawatan tersebut pada tahun 2020, wabak COVID-19 menular sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara dan pada masa itu saya mengambil keputusan untuk terus berada di kampus bagi membantu pihak Pengurusan Kampus menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar. 
 
SAVE 20220527 181530
 
"Dalam tempoh itu juga, banyak perkara-perkara baharu yang saya pelajari termasuk menyediakan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Hospital USM, menguruskan bantuan yang disalurkan kepada pelajar, menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelajar serta turut berpeluang menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di kampus bersama kawan-kawan yang lain," jelasnya mengimbau kenangan yang cukup manis dalam hidup seorang pelajar. 
 
Menamatkan pengajian dalam bidang Sains Forensik dengan memperolehi Ijazah Kelas Pertama, Azlina menganggap anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan mahasiswa khususnya MPP. 
 
SAVE 20220527 181557
 
"Saya berharap anugerah ini akan menjadi dorongan kepada barisan MPP untuk terus memainkan peranan bukan sahaja dalam hal kebajikan tetapi membentuk satu jenama kepimpinan yang berkesan dan menggambarkan kehebatan pelajar USM sebagai pemimpin masa hadapan," katanya lagi.
 
Sebagai seorang pelajar yang sentiasa sibuk dengan aktiviti kepimpinan, kesukarelawan dan kebudayaan, beliau tetap tidak lupa akan tujuan sebenar beliau merantau dari negeri Hang Tuah hingga ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini adalah untuk menimba ilmu sehingga berjaya bergraduasi dengan CGPA 3.75. 
 
Azlina turut berpesan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang sedang berjuang di medan ilmu tercinta ini, tidak kira apa bidang pengajian sekalipun, masing-masing ada dugaan tersendiri.
 
SAVE 20220527 181606
 
"Kita perlu pandai mengimbangi antara cita-cita dan minat. 
 
"Kejayaan dalam akademik perlu seiring dengan ketrampilan diri agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan USM di lapangan kerjaya kelak", ujar beliau.
 
Azlina turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya di Kampus Kesihatan yang telah menjadi sebahagian daripada warna warni kehidupan beliau selama empat (4) tahun bergelar pelajar USM. 
 
Penganugerahan tersebut diadakan sempena Upacara Konvokesyen USM ke-59 dan telah disampaikan oleh Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. 
 
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Azlinda Ahmad. 
 
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/ Foto: Nur Azlina Adris

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 27 Januari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.