ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

USM DAN NARINAR GROUP METERAI PERJANJIAN GERAN PENYELIDIKAN KONGSI KEPAKARAN DALAM KEMAJUAN TEKNOLOGI PERUBATAN


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Jun 2022 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Narinar Group Sdn. Bhd memeterai perjanjian geran penyelidikan untuk berkongsi kepakaran dalam kemajuan teknologi perubatan khususnya memberi rawatan kepada pesakit yang mengalami sakit tulang belakang melalui penggunaan ‘essential oil’. 

 
Hadir menandatangani perjanjian Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Narinar Group Sdn. Bhd., Mohd Nawawi Ibrahim dan Pengarah Urusan yang juga Pengasas Narinar Group Sdn. Bhd., Nur Shazren Mohd Shah bagi pihak Narinar Group Sdn. Bhd. 
 
SAVE 20220614 171104
 
Menurut Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, bagi pihak USM beliau amat berbesar hati dengan kerjasama tersebut yakin ia akan membuka peluang lebih luas terutama untuk para penyelidik daripada PPSP meneroka bidang penyelidikan yang lebih luas seiring dengan cabaran Industri 4.0. 
 
“Kerjasama dua hala antara USM dan Narinar Group Sdn. Bhd. mencakupi pembangunan dalam bidang akademik dan penyelidikan serta penerbitan bersama dalam jurnal antarabangsa tersohor dan menjadi penyumbang bagi projek yang bertajuk ‘The efficacy of essential oils against methyl salicylate ointment in the treatment of back and leg pain in patients with degenerative lumbar stenosis’.   
 
SAVE 20220614 171214
 
“Kerjasama yang akan berkuatkuasa selama dua (2) tahun ini bermula pada Jun 2022 secara signifikannya dapat memberi rawatan kepada pesakit yang mengalami sakit tulang belakang melalui penggunaan ‘essential oil’ yang mana sebelum ini pesakit hanya menggunakan minyak ‘methyl salicylate’,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut. 
 
Tambah Shaharum, USM juga amat berbesar hati jika kerjasama ini disambung lagi pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi hasil kerjasama dua hala USM dan Narinar Group Sdn. Bhd. 
 
“Saya percaya kerjasama ini mewujudkan peluang yang lebih luas untuk menggabungkan penyelidikan ke arah kelestarian berdasarkan perspektif USM kerana terdapat banyak penyelidikan yang dapat dilakukan apabila berbeza latar belakang penyelidikan digabungkan untuk menyelesaikan masalah baharu, terutamanya apabila melibatkan ‘complementary’ dan ‘traditional medicine’. 
 
“Aspirasi perjanjian ini juga adalah untuk mewujudkan kerjasama pintar dan dinamik antara universiti dan industri dengan perkongsian kepakaran dalam pembangunan perubatan komplementari terutamanya dalam tulang belakang degeneratif dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan pesakit di Malaysia,” jelasnya lagi. 
 
SAVE 20220614 171234
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Narinar Group Sdn. Bhd., Mohd Nawawi Ibrahim, pula berkata, perjanjian ini merupakan satu lagi langkah pihak Narinar yang komited untuk mengeluarkan produk yang bukan sahaja halal, selamat dan berkesan.  
 
“Sebelum ini, kajian terhadap minyak pati Narinar hanya dibuat di makmal sahaja dalam bentuk eksperimen dan ujian klinikal terhadap manusia untuk sesuatu penyakit. 
 
SAVE 20220614 171226
 
“Perjanjian kali ini adalah tentang kajian terhadap biji cili dan lada hitam yang digunakan khas untuk ‘essential oil Narinar deep muscle’ iaitu satu produk yang dikeluarkan sejak tahun 2018 dan telah banyak menerima kesan positif daripada pengguna. 
 
“Namun, ia tidak disokong oleh kajian klinikal dan pada hari ini, satu perjanjian dimeterai untuk bekerjasama bagi menguatkan lagi bukti bahawa produk ini berkesan untuk sendi dan tulang belakang,” katanya. 
 
Mohd Nawawi juga percaya bahawa pihaknya mengambil langkah yang tepat dengan memilih Pensyarah Perubatan Jabatan Ortopedik, PPSP USM, Dr. Azizul Akram Salim sebagai ketua penyelidik mampu membuktikan bahawa biji cili dan lada hitam mempunyai bahan aktif yang mampu memberi kelegaan kepada tulang. 
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan, PPSP USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Ketua Jabatan Ortopedik, Profesor Dr. Amran Ahmed Shokri. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 27 Januari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.